Isnin, 11 April 2016

AirAsia tawar 50% diskaun kepada penumpang Rayani Air

 
Tawaran itu bermula hari ini sehingga 27 April ini untuk penerbangan ke Kuala Lumpur, Pulau Langkawi, Kota Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu


air-asia


PETALING JAYA: Selain Malaysia Airlines, AirAsia turut menawarkan potongan harga sebanyak 50 peratus kepada penumpang Rayani Air yang terjejas.

Tawaran yang bermula hari ini sehingga 27 April itu adalah untuk penerbangan ke Kuala Lumpur, Pulau Langkawi, Kota Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu.

Syarikat penerbangan tambang murah itu dalam satu kenyataan memaklumkan, penumpang terjejas hanya perlu menunjukkan tempahan tiket yang sah.

Menurut Ketua Operasi Komersialnya, Spencer Lee, penumpang terjejas itu boleh mendapatkan potongan harga itu di Pusat Perkhidmatan dan Pelancongan AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (Kota

Spencer berkata, AirAsia berharap tawaran itu dapat membantu mengurangkan kesulitan dihadapi penumpang terbabit, khasnya menerusi penambahan kekerapan penerbangan ke destinasi terjejas.

“Penumpang boleh pergi ke Pusat Pelancongan dan Perkhidmatan AirAsia di lapangan terbang yang disenaraikan dan ejen-ejen perkhidmatan kami akan membantu mereka membuat tempahan,” katanya.

Terdahulu, Malaysia Airlines turut menawarkan potongan harga buat penumpang terjejas yang telah menempah tiket Rayani Air.

Penumpang boleh menghubungi 1300-88-3000 atau mengunjungi kaunter-kaunter penjualan tiket Malaysia Airlines di seluruh negara.

Rayani Air menghentikan penerbangan minggu lalu, sejurus selepas 100 hari memulakan perkhidmatan dan Jabatan Penerbangan Awam hari ini mengumumkan penggantungan Sijil Penggendalian Udaranya selama tiga bulan serta inkuiri akan diadakan pada 12 Mei nanti.

Tiada ulasan: