Khamis, 21 April 2016

Ahmad Shabery: El Nino sebabkan ayam ‘stress’

SINAR HARIAN


cuaca panas
Cuaca panas. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Bukan hanya manusia, malah ayam juga turut terkesan dengan cuaca panas El Nino, demikian menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Ahmad Shabery berkata cuaca panas yang melanda negara kini menyebabkan ayam mengalami 'stress' yang menyebabkan proses pembesarannya terbantut.

"Ini boleh berlaku apabila ada penternak ayam yang masih menggunakan kaedah lama iaitu kaedah reban terbuka. Apabila suhu tinggi, kadar stress ayam akan meningkat contohnya daripada 38 hari menjadi 40 hari untuk mencapai berat tertentu," katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Engku Naimah Engku Taib sama ada bekalan ayam dan daging terjejas akibat cuaca panas terutama menjelang bulan Ramadan.

Menurut Ahmad Shabery, keadaan cuaca panas akan menyebabkan pengeluaran ayam berkurangan antara lima hingga 10 peratus.

"Apabila bekalan ayam berkurangan, kita bimbang rakyat pula akan stress," katanya.

Bagi menangani keadaan itu, beliau berkata penternak ayam kini lebih banyak menggunakan kaedah reban tertutup yang membolehkan suhu di dalam reban dikawal.

"Untuk menghadapi bulan puasa, semua keperluan telah diatur, bermula sekarang kadar penetasan ayam telah ditambah. Jika bekalan masih belum mencukupi, kementerian bersedia mengimport ayam bagi memastikan harganya stabil," katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam laporan media sebelum ini memaklumkan Fenomena El Nino, yang menyebabkan Malaysia kini mengalami panas terik dan kemarau, dijangka berakhir pada Jun ini. –Bernama


Tiada ulasan: