Rabu, 13 April 2016

Ahli Politik Sebagai Pengurus Pasukan Bola Sepak, Relevenkah ?

SELANGOR INSIDER



Aini Taib


Bagi sesebuah organisasi pasukan sukan khususnya bola sepak, Pengurus dan Jurulatih merupakan individu penting sebagai pemimpin yang boleh mempengaruhi, membentuk serta melatih skuad bimbingan mereka untuk meraih kejayaan dalam suatu pertandingan atau kejohanan. Objektif utama, pengurus dan jurulatih ialah membentuk seterusnya membina satu pasukan yang berjaya serta sentiasa mempertingkatkan prestasi sepanjang musim pertandingan.

Pengurus dan Jurulatih mempunyai kuasa untuk memutuskan suatu keputusan berkaitan pemilihan pemain, menentukan posisi setiap pemain, menetapkan target dan strategi dalam mana-mana musim pertandingan, mengurus pemain dan pegawai ketika menyertai pertandingan dari sudut logistik perjalanan dan penginapan pasukan,juga menguruskan kewangan pasukan.

Tidak seperti di Eropah, menjadi tradisi dan amalan di Malaysia perlantikan pengurus dan jurulatih pasukan dilantik dari kalangan individu berbeza. Pemilihan pengurus pasukan contohnya, dilihat lebih dipengaruhi oleh kehendak politik dan dipilih dari kalangan individu yang mempunyai pengaruh atau kedudukan politik berbanding individu yang mempunyai kepakaran teknikal di samping ilmu pengurusan.

Selangor FA & Sultan Sharafuddin Idris Shah

Adalah tidak dapat dinafikan bahawa, pemilihan pengurus pasukan bola sepak dari kalangan ahli politik ini bertujuan untuk memudahkan lagi proses menyalurkan sesuatu masalah atau isu keperingkat yang lebih tinggi denga menggunakan pengaruh politik yang ada pada individu tersebut. Namun begitu, dalam sesuatu organisasi sukan, jurulatih adalah “key-person” dalam pembentukkan dan pembinaan sesuatu pasukan, juga adalah orang yang paling rapat dengan pemain. Berdasarkan pengalaman sebagai pemain, jurulatih juga lebih mengetahui masalah yang dihadapi oleh pemain dan memahami ‘bahasa komunikasi antara pemain’ yang terbentuk sewaktu di padang atau pengamalan yang lalu berbanding pengurus pasukan dikalangan ahli politik.

Yang menjadi masalah besar kalangan ahli politik sebagai Pengurus pasukan bola sepak ialah menjadikan agenda politik sebagai keutamaan berbanding agenda membangunkan prestasi dan kecemerlangan pasukan. Ditambah pula sekiranya ahli politik yang dipilih bukan dari kalangan mereka yang pernah serius dalam bola sepak, sama ada sebagai pemain atau terlibat secara langsung dalam mengurus pembangunan bola sepak. Ahli politik seperti ini pada hakikatnya tidak menjiwai ‘sentimen bola’ yang ada pada pemain serta ‘sensisitviti’ penyokong setia bola sepak yang banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata mahu melihat pasukan kesayangannya beraksi di atas padang.

Piala Sumbangsih Dato' Aini


Bagi para penyokong, apa yang penting bukanlah jawapan-jawapan politik yang berbentuk retorik seolah-olah mahu ‘memperbodohkan’ penyokong setia, tetapi mereka mahu melihat prestasi pasukan yang cemerlang dengan corak permainan yang meyakinkan, taktikal yang mampu mencabar mana-mana pasukan dan yang paling penting ialah ‘kemenangan’.

Namun, ia tidak bermakna memilih ahli politik tidak menjadikan suatu pasukan itu tidak bagus, kerana ia juga bergantung kepada pengetahuan individu tersebut terhadap bola sepak. Begitu juga jurulatih atau bekas pemain bola sepak yang dipilih sebagai pengurus, harus mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan. Sejarah bola sepak negara pernah mecatatkan beberapa nama di kalangan ahli politik malah pegawai tinggi kerajaan yang berjaya membawa pasukan pimpinannya mencapai kejayaan yang cukup gemilang di zamannya.

Nama-nama seperti Dato’ Mohd Aini bin Haji Taib dan Allahyarham Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri Bin Mohd Akil adalah antara nama-nama yang mencipta kejayaan gemilang sebagai pengurus pasukam d bola sepak.

Dato’ Aini, merupakan ADUN Sungai Burong, melakarkan sejarah kebangkitan pasukan bola sepak Selangor dengan menjuarai Piala Malaysia tiga kali berturut-turut pada tahun 1995, 1996 dan 1997, juara Piala FA dan Piala Sumbangsih. Beliau mengambilalih tugas pengurus Selangor pada tahun1993 ketika pasukan itu berada dalam Divisyen 2 Liga Semi-Pro, berjaya membawa Selangor ke separuh akhir Piala Malaysia edisi 1994 namun disingkirkan oleh Singapura di Stadium Shah Alam, gelanggang baru bagi Selangor. Ketika Selangor berada di puncak kegemilangan, Dato’ Aini bagaimanapun mengambil keputusa meletakkan jawan sebagai pengurus pasukan Selangor dan jawatannya diisi oleh oleh Dato’ Mohktar Ahmad.

Piala Malaysia Basri Akil

Allahyarham Dato’ Paduka Ahmad Basri Akil, bekas pegawai tinggi kerajaan, antara pengurus pasukan bola sepak yang berjaya membawa Malaysia merangkul pingat emas Sukan SEA 1989. Dato’ Basri Akil adalah pengurus pasukan kebangsaan ketika itu. Dato’ Ahmad Basri juga adalah pengurus pasukan Kedah dari tahun 1986 hingga 1996 dan dikenali sebagai ‘bapa pembangunan bola sepak negeri Kedah’.
Allahyarham berjaya membawa Kedah ke perlawanan akhir sebanyak enam kali iaitu pada tahun 1987, 1988, 1989, 1990, 1992 dan 1993 terasuk muncul juara dua kali pada 1990 dan 1993.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, adalah insan penting memperkenalkan lagu ‘Hijau Kuning, Biar Jasa jadi Kenangan’ dan slogan ‘Pulun Kedah Pulun’ untuk menaikkan semangat penyokong pasukan Kedah. Kelantang Allahyarham Dato’ Ahmad Basri mengktirik FAM, beliau kali digantung oleh FAM pada tahun 2001 hingga 2005 dan digantung sekali lagi pada tahun 2007 hingga 2009. Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah pada 15 Julai 2008.

Persoalannya kini, masih adakah individu seperti Dato’ Aini dan Dato’ Paduka Basri Akil untuk mengurus pasukan bola sepak ?

Tiada ulasan: