Selasa, 26 April 2016

AG telah arahkan siasatan lanjut ke atas 1MDB

Alyaa Azhar

 


Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini berkata beliau telah mengarahkan siasatan lanjut ke atas 1MDB.

"Mengenai 1MDB, saya sudah arahkan siasatan lanjut berkenaan dengan personaliti lain yang mungkin terlibat dan saya masih belum menerima kertas siasatan (IP) berhubung dengan arahan itu.

"Setakat ini mereka belum kembali (kepada saya)," kata Apandi kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau sebelum itu menyampaikan ceramah kepada pengamal media dan ahli akademik.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporan yang dibentangkan awal bulan ini mencadangkan pihak berkuasa supaya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan juga pihak-pihak berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kemudiannya mengumumkan satu pasukan polis sedang menyiasat 1MDB untuk meneliti laporan PAC.

Khalid berkata, keputusan berkenaan kemudiannya akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, Apandi berkata beliau masih belum melihat kertas siasatan (IP) yang berkaitan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengenai kenyataan Khalid bahawa polis sedang menunggu keputusan Peguam Negara berhubung empat kertas siasatan, termasuk satu di bawah hasutan, Apandi berkata terdapat pelbagai jabatan di bawah Jabatan Peguam Negara.

"Jabatan Pendakwaan di bawah saya, mungkin mereka hantar (IP) kepada pegawai saya di Jabatan Pendakwaan.

"Mereka (pegawai) perlu kaji, dan dalam analisis akhir jika mereka mahu membuat sebarang keputusan, mereka akan rujuk kepada saya. Sehingga kini mereka masih belum rujuk kepada saya," katanya.

Apandi juga yang mengakui bahawa beliau tidak tahu ketika ditanya mengenai wartawan Malaysiakini Kow Gah Chie yang disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan.

"Saya tidak tahu. Saya tidak boleh kata bahawa saya mengetahui segala-galanya.

 "Apa pun, peguam negara sebagai pendakwa raya hanya akan tahu apabila mereka merujuk kertas kepada saya atau kepada pegawai saya, dengan tujuan untuk mendakwa atau sebaliknya. Sehingga sekarang saya tidak tahu," katanya.

Kow disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan penulisan, penerbitan dan mengedarkan kenyataan dengan niat untuk menghasut masyarakat untuk melakukan suatu kesalahan.

Wartawan itu, dalam laporannya memetik ADUN Nangka Dr Annuar Rapaee sebagai berkata bahawa umat Islam di Sarawak tidak seharusnya mensia-siakan peluang untuk memimpin di negeri itu.

Ketika ditemui selepas itu, Annuar menafikan beliau meniupkan sentimen kaum dan agama.


Tiada ulasan: