Khamis, 7 April 2016

Ada Kes: PAC Arah Siasat 1MDB


ADA kes terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Itulah yang boleh disimpulkan daripada laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.

Ini terbukti apabila badan Parlimen itu meminta pihak agensi penguat kuasa menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, (Datuk) Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Shahrol Pikul Beban Tanggungjawab

Menurut laporan Bernama, PAC juga mahu siasatan dijalankan ke atas anggota pengurusan lain, termasuk Lembaga Pengarah atas “kelemahan-kelemahan pengurusan syarikat itu.”
 
Ia turut mencadangkan agar Lembaga Penasihat 1MDB dimansuhkan bersama artikel 117 di dalam memorandum dan artikel persatuan syarikat. Lembaga Penasihat 1MDB dipengerusikan oleh Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone), Mohd Najib Abdul Razak.

PAC mendapati, terdapat kelemahan dan kekangan-kekangan dalam 1MDB dan pihak pengurusannya perlu mengambil tanggungjawab atas kelemahan itu.

Arahan PAC agar agensi penguat kuasa menyiasat 1MBD adalah penting kerana agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Bank Negara, Polis Diraja Malaysia, Ketua Juruaudit Negara dan Pejabat Peguam Negara telah pun menjalankan penyiasatan, sama ada secara bersendirian atau berkumpulan, sebelum dibubarkan dan diarah berhenti pada pertengahan tahun lalu.

Malah Bank Negara telah dua kali mengemukakan perakuan agar 1MDB dituduh di mahkamah kerana melanggar peraturan pemindahan wang tetapi ditolak oleh Peguam Negara, (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali atas alasan tidak ada kes.


Mohamed Apandi tolak perakuan Bank Negara

Laporan PAC itu memutuskan yang “segala rujukan kepada YAB Perdana Menteri” perlu ditukar kepada Menteri Kewangan, selaras dengan peruntukan bahawa 1MDB adalah kepunyaan Menteri Kewangan Diperbadankan (KMD).

Selain Perdana Menteri, Mohd Najib juga memegang jawatan Menteri Kewangan.

Laporan lengkap PAC boleh diperoleh menerusi laman web Parlimen www.parlimen.gov.my.


Mohd Najib bertanggungjawab terus ke atas 1MDB
Perkara 117 di bawah memorandum dan artikel persatuan 1MDB, antara lain menetapkan semua keputusan mengenai lantikan dan pemecatan pengurusan atasan 1MDB, serta sebarang komitmen kewangan, termasuk keputusan pelaburan 1MDB yang boleh mempunyai kesan kepada jaminan kerajaan Persekutuan perlulah mendapat kelulusan bertulis Perdana Menteri.

Dalam laporannya, PAC mendapati pengurusan 1MDB beberapa kali tidak mematuhi keputusan dan arahan Lembaga Pengarah atau pun bertindak sebelum mendapat kelulusan khusus daripada Lembaga Pengarah.

“Terdapat beberapa pelaburan dan pinjaman besar yang dibuat tanpa penilaian terperinci (termasuk penelitian impak terhadap aliran tunai syarikat) dan beberapa keputusan besar telah dibuat melalui resolusi bertulis,” menurut laporan itu.

PAC juga berpendapat, penggunaan hutang yang berlebihan dalam struktur modal tidak boleh dibenarkan sama sekali, lebih-lebih lagi apabila aliran tunai syarikat tidak mencukupi.

Ia juga menyarankan kawal selia yang lebih rapi oleh Lembaga Pengarah, termasuk mempersoalkan harga belian aset dan kos hutang.

Bagaimanapun, PAC mendapati kerajaan telah mengambil langkah serta-merta untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat yang mula timbul pada November 2014.

Pengurusan tertinggi baharu 1MDB telah dibawa masuk selepas itu sebelum pelan rasionalisasi dibentangkan kepada Kabinet pada 29 Mei 2015.

Kesimpulan

Daripada laporan Bernama itu, kesimpulan yang boleh dibuat bahawa terdapat banyak kelemahan dan perlanggaran urus tadbir korporat melibatkan pengurusan, Lembaga Penasihat, Lembaga Pengarah dan badan kawal selia teratas, iaitu Kementerian Kewangan.

Daripada apa yang telah didedahkan secara rasmi oleh penyiasatan dalam dan luar negara atau yang diperkatakan dengan meluas, jelas kelemahan-kelemahan yang disebutkan oleh PAC itu mungkin mempunyai unsur-unsur kecuaian, pecah amanah dan corporate malfeasance .

Dengan arahan PAC itu, tidak ada alasan lagi bagi agensi penguat kuasa, khususnya SPRM, PDRM dan Bank Negara untuk tidak meneruskan siasatan ke atas 1MDB atau cuba mensabotajnya kecuali mereka sengaja mengingkari arahan Parlimen.

Wallahuaklam.


Tiada ulasan: