Selasa, 5 April 2016

4.2 juta belum jadi pengundi selepas SPR tak benar parti politik bantu?

teo nie ching

Roketkini.com


KULA: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengurangkan jumlah Penolong Pendaftar Pemilih (ARO) sejak tahun 2011 dilihat sebagai jawapan kepada persoalan mengapa 4.2 juta rakyat Malaysia masih tidak mendaftar sebagai pengundi ketika ini.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, berkata jumlah rakyat Malaysia yang sepatutnya layak mengundi adalah 17.6 juta, namun hanya 13.4 juta yang telah didaftarkan sebagai pengundi.

Menurutnya, ia terjadi ekoran daripada ketidakcekapan SPR dalam mendaftar pengundi baru, malah ARO yang diberi tugas berkenaan juga dikurangkan jumlahnya saban tahun dan tidak diperbaharui perkhidmatannya serta tidak diganti dengan ARO yang baru.

“Dalam tahun 2011, terdapat 5,720 ARO daripada pelbagai parti politik. Bagaimanapun, jumlah berkenaan berkurang kepada 4,777 pada 2012.

“Dan pada 2013, hanya terdapat 1,901 ARO  kerana pada November 2012, SPR telah mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan tempoh khidmat ARO sedia ada daripada parti-parti politik ataupun mengambil anggota ARO yang baru,” jelasnya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman di Dewan Rakyat pada 30 Mac lalu yang menyatakan bahawa terdapat hanya 617,254 rakyat Malaysia yang mendaftar mengundi di antara 2013 dan 2015.

“Secara purata, hanya 205,751 rakyat Malaysia yang mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi untuk satu tahun. Pada kadar ini, ia akan mengambil masa selama 20 tahun untuk mendaftar semua pengundi yang tidak berdaftar,” jelas Nie Ching yang juga merupakan Ahli Parlimen Kulai.

Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah berkenaan, beliau mencadangkan supaya SPR melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik atau membenarkan lebih ramai lagi anggota ARO dilantik daripada pelbagai jenis parti untuk memastikan kelancaran pendaftaran pengundi baru.

“Sebelum ini, parti politik daripada kedua-dua pihak telah melaksanakan roadshow dan kempen menggunakan dana sendiri di pasar pagi dan pasar malam atau di kompleks membeli belah tanpa ada sebarang bantuan dana dari SPR.

“Sehingga kini, SPR telah gagal memberikan alasan yang kukuh dan munasabah berhubung tindakan mereka untuk menggugurkan semua ARO daripada semua parti-parti politik.

“Akhirnya, apa yang penting adalah setiap rakyat Malaysia ada hak untuk menentukan nasib dan masa depan mereka. Hak seumpama itu tidak harus dinafikan dengan merumitkan proses mudah bersifat birokrasi,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: