Rabu, 6 April 2016

2 remaja terbabas dalam longkang lepas tendang polis

BERNAMA




Dua remaja lelaki, yang disyaki terlibat dalam kejadian samun, terbabas ke dalam longkang selepas menendang motosikal polis yang mengejar mereka di Jalan Kulim, Cherok Tokun di Bukit Mertajam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Rusli Mohd Noor berkata dua pelajar sekolah berusia 17 tahun yang menaiki sebuah motosikal itu cuba melarikan diri selepas dihampiri tiga anggota polis bermotosikal pada pukul 4.30 petang.

"Polis cuba menahan dua remaja yang dalam keadaan mencurigakan itu ketika berada di Jalan Kilang Ubi tetapi mereka memecut laju dan selepas dikejar kira-kira lima kilometer pelajar terbabit menghimpit dan menendang motosikal polis," katanya di Bukit Mertajam hari ini.

Beliau berkata polis menemui senjata buku lima dalam beg seorang daripadanya manakala seorang lagi memakai senjata buku lima di kepala tali pinggangnya.

Senjata itu dipercayai diguna untuk memecahkan cermin kereta sebelum melakukan samun.

Ujian air kencing mendapati remaja terbabit positif dadah jenis amphetamine dan mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan, katanya.- Bernama


Tiada ulasan: