shahbudindotcom
Walaupun
seperti ada percubaan untuk mengalih perhatian dengan membesar-besarkan
isu Lim Guan Eng dan tanah Taman Manggis serta larangan ceramah Dr
Zakir Naik, batu besar yang menjadi masalah kepada semua rakyat Malaysia
sekarang tidak lain ialah 1MDB.
Kita
tidak harus terperangkap dengan isu-isu lain yang mungkin sengaja
diada-adakan untuk mengalih perhatian dan mengurangkan tumpuan terhadap
1MDB.
Dulu
Najib Razak dan 1MDB sendiri menjanjikan laporan audit menyeluruh
mengenai syarikat itu akan menjawab segala-galanya. Malangnya apabila
laporan audit disiapkan, ia kemudian diletakkan di bawah OSA atau Akta
Rahsia Rasmi yang menyebabkan ia menjadi rahsia kepada semua rakyat
daripada membaca dan mengetahuinya.
Lalu,
pertanyaan ramai termasuk makcik Felda ialah mengapa dijadikan rahsia
rasmi negara jika tidak ada perkara yang mahu dilindungkan?
Sudah
lupakah janji sebelum ini yang meminta semua orang menunggu laporan
audit sambil mengatakan laporan audit 1MDB akan menjawab
segala-galanya?
Disebabkan
laporan audit telah diOSAkan, lantas menyebabkan Laporan PAC yang
dibentangkan di Parlimen tidak mampu menjawab banyak perkara tentang
1MDB ini.
Selain
itu, terdapat pula beberapa saksi penting yang menurut Tony Pua ditolak
untuk dipanggil memberi keterangan oleh Hasan Ariffin, Pengerusi baru
jawatankuasa tersebut yang dilantik menggantikan Nur Jazlan yang
dinaikkan pangkat sebagai timbalan menteri di tengah-tengah kemelut 1MDB
pada 28 Julai 2015 yang lalu.
Antara
saksi yang tidak dipanggil itu ialah wakil Bank Negara, Jho Low, salah
seorang bekas CEO 1MDB, Hazeem Abdul Rahman dan sudah tentu Najib
sendiri yang tandatangannya semua orang tahu adalah "nyawa" kepada
perjalanan syarikat pelaburan itu.
Malah,
seperti yang disebut juga oleh Tony Pua sebelum ini, untuk mendesak
agar bekas Pengerusi 1MDB, Mohd Bakke Salleh memberi keterangannya pun
hanya menjadi kenyataan setelah beberapa kali desakan dilakukan.
Maka itulah sebabnya laporan PAC banyak cacat celanya dan kecuali pemakan dedak yang berpuas hati dengannya.
Itulah
juga yang antara punca menyebabkan kedudukan Aabar Investment PJS Ltd,
syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Island misalnya, terus
menjadi misteri berpanjangan meskipun telah menerima sebanyak AS$3.51
bilion atau lebih kurang RM14,000 juta secara keseluruhan sebagai
sekuriti deposit daripada 1MDB.
Dalam
kenyataan terbaru oleh kepada London Stock Exchange, IPIC atau
International Petroleum Investment Company menafikan Aabar Investment
PJS Ltd itu adalah anak syarikat kumpulan mereka atau ada menerima
sebarang pembayaran daripadanya serta menanggung liabitinya.
Makna mudahnya, syarikat itu tidak ada kena mengena dengan IPIC yang ada perjanjian perniagaan dengan 1MDB.
Jadi, kepada siapa sebetulnya duit 1MDB sebanyak itu telah disalurkan dan ke mana akhirnya wang RM14,000 juta tersebut pergi?
Dalam
hal ini, oleh kerana beberapa saksi penting tidak dipanggil, laporan
PAC yang dibentangkan di Parlimen bukan saja tidak menjawab banyak
persoalan, malah disebabkan seluruh dunia turut bercakap mengenainya dan
media antarabangsa juga tidak henti-henti mendedahkannya, ia secara
tidak langsung mendedahkan lebih banyak misteri 1MDB.
Perjalanan
masa juga bakal menyaksikan banyak lagi perkara berkaitan Aabar
Investment PJS Ltd, Jho Low, Khadeem Al Qubaishi dan Mohamed Badawy Al
Husseiney akan terdedah kepada kita semua.
Laporan
PAC sebenarnya telah gagal sama sekali. Tiada kebenaran yang
diserlahkan, selain mahu menjadikan bekas CEOnya, Shahrol Azral sebagai
kambing hitam untuk menutup segala kecurangan 1MDB.
Paling
wajar untuk dilakukan sekarang ialah dengan menubuhkan sebuah
Suruhanjaya Diraja yang diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis
Raja-Raja dan Parlimen untuk menyiasat 1MDB secara menyeluruh dan
saksi-saksi penting seperti Najib dan Jho Low mesti serta wajib
dipanggil untuk memberi keterangannya.
Tanpa memanggil mereka itu umpama memesan kari kepala ikan tetapi tiada kepala ikan yang dihidangkan dalam pinggan.
Begitu
juga dengan wakil daripada Bank Negara dan segala dokumen transaksi
kewangan 1MDB di luar negara mesti diusahakan sedaya upaya untuk
diperolehi.
Sessi
pendengaran Suruhanjaya Diraja itu pula mestilah dibuat secara terbuka
sebagaimana siasatan terhadap mata lebam Anwar Ibrahim dahulu.
Ketika itu, barulah boleh dipercayai segala-galanya akan terdedah.
Tetapi,
sebagaimana pernah disebut oleh Zaid Ibrahim, yang paling berkesan
sekali untuk mendedahkan kebenaran mengenai 1MDB ini tidak lain ialah
melalui pertukaran kerajaan dalam pilihanraya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan