Rabu, 20 April 2016

13 calon Amanah akan diumum di Kuching Jumaat ini

 HAZAYANI ZAKARIA


13 Calon Amanah diumum Jumaat ini di Kucing13 Calon Amanah diumum Jumaat ini di KucingAmanah akan mengumumkan 13 calon parti itu yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada 22 Mac ini, kata timbalan presiden Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, majlis pengisytiharan calon akan diadakan di bandar Kuching dan akan dihadiri oleh pimpinan utama parti.

“Amanah akan isytiharkan calon yang telah kita kenal pasti pada Jumaat, 22 Mac ini di Kuching, kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Menurut beliau, kesemua 13 calon yang merupakan anak tempatan itu terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

“Kita telah kenal pasti calon-calon kita, selain semuanya anak Sarawak, calon kita juga terdiri daripada pelbagai latar belakang, profesional, aktivis sosial dan masyarakat, anak muda dan wanita,” katanya lagi.

Salahuddin juga mengesahkan Amanah akan bertembung dengan Pas di beberapa kawasan namun enggan memberitahu di kawasan mana.

Bagaimanapun, sumber daripada Amanah sendiri memberitahu Malaysia Dateline minggu lalu, Amanah akan bertembung dengan Pas di tiga kerusi iaitu N16 Muara Tuang, N27 Sebuyau dan N29 Beting Maro.

Perkembangan ini akan menyaksikan perlawanan lebih daripada tiga penjuru selain calon tradisi dari komponen BN serta kemunculan calon bebas yang lazim mewarnai senario PRN Sarawak.

Menurut Salahuddin juga, Amanah yakin dengan potensi parti itu di Sarawak dan 13 kerusi yang dipertaruhkan adalah munasabah bagi sebuah parti baharu.

“Amanah nampak potensi ada di Sarawak dan Amanah tidak boleh ketinggalan daripada menyertai pilihan raya negeri.

“Segala perbelanjaan pilihan raya ditanggung oleh parti sendiri dan daripada sumbangan orang ramai kepada Amanah khusus untuk kerja-kerja pilihan raya,” katanya.

“Amanah yakin 13 kerusi yang kita tandingi mampu untuk menyemarakkan penyertaan Amanah untuk mendapat sokongan kemenangan daripada rakyat Sarawak,” katanya lagi.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun lalu menjadikan jumlah kerusi untuk DUN Sarawak meningkat daripada 71 kepada 82.

Tiga daripada 11 kerusi yang ditambah terdiri daripada majoriti kaum Melayu/Melanau iaitu di Gedong, Kabong dan Telian manakala tiga kerusi didiami majoriti kaum Iban (Stakan, Selirik dan Samalaju).

Selain itu, dua kerusi majoriti Orang Ulu (Murum dan Long Lama), dua majoriti kaum Bidayuh (Serembu dan Triboh) serta baki satu kerusi lagi majoriti kaum Cina iaitu di Batu Kitang.

Keputusan PRN ke-10 pada 2011 menyaksikan BN menyapu 77 peratus kerusi iaitu menang 55 daripada 71 kerusi dipertandingkan.

Manakala bagi pencapaian parti pembangkang, DAP menguasai 12 daripada 15 kerusi Dun ditandinginya; PKR hanya menang tiga daripada 49 kerusi iaitu Batu Lintang, Ba'Kelalan dan Krian manakala Pas kalah di semua lima kerusi yang ditandingi.

Tiada ulasan: