Isnin, 21 Mac 2016

Zahid naikkan hadiah wang tunai untuk Umno Selangor

Alyaa Azhar

 


Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein datang 'menyelamatkan' Umno Selangor apabila mengumumkan hadiah wang bagi pendaftaran ahli dan pengundi sebanyak sepuluh kali ganda.

Ia susulan maklum balas daripada lebih 4000 ahli Umno Selangor, selepas ketuanya Datuk Seri Noh Omar mengumumkan hadiah wang tunai RM5,000 untuk cawangan yang mendaftar keahlian dan pengundi paling banyak.

Noh mengakui bahawa ganjaran wang itu sedikit kerana Umno Selangor tidak mempunyai "bajet cukup".

"Maka cawanagan-cawangan, bangkitlah untuk rebut peluang ni. Umno Selangor kurang bajet, tapi bab-bab persaingan, Zahid suka, dan mungkin akan tambah (peruntukan)," ujarnya ketika mesyuarat agung tahun ketua cawangan Umno Selangor hari ini.

Ini mendorong Zahid, yang berada di sana untuk merasmikan majlis itu, mengumumkan bahawa beliau dan Hishammuddin akan meningkatkan hadiah sebanyak sepuluh kali ganda kerana kagum dengan jumlah yang hadir.

"Dengan ini, kami berdua bersetuju untuk menambah. Hadiah pertama daripada RM5,000 naik RM50,000, RM3,000 naik RM30,000 dan RM2,000 naik RM20,000," kata Zahid sambil mendapat sorakan gemuruh.

Beliau kemudian berjenaka bahawa mereka boleh mengambil wang tunai itu daripada Hishammuddin selepas majlis tersebut.

"Lepas keluar dewan ni ambillah duit dari Hisham, Hisham ambil dari saya, saya ambil dari bendahari," katanya sambil mengingatkan ia bukanlah semata-mata tentang soal wang, tetapi sebagai kerja dan tanggungjawab.

Pertandingan itu adalah satu bentuk motivasi untuk Umno Selangor merampas negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

BN kalah di Selangor pada pilihan raya umum 2008 dan tewas lebih teruk pada pilihan raya umum 2013 apabila hanya menang 12 kerusi dewan undangan negeri daripada 56 yang ditandingi.


Tiada ulasan: