Isnin, 28 Mac 2016

Web pro-Najib: Editor Utusan tak 'dipaksa' berhenti

MALAYSIAKINI




Editor kanan Utusan Malaysia Ku Seman Ku Hussain yang menamatkan perkhidmatannya di akhbar Umno itu semalam tidak dipecat atau diberhentikan.

Sebaliknya, kata sumber pengurusan utusan kepada MYKMU, beliau telah membuat permohonan untuk berhenti.


Portal yang mendukung Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu mendakwa Malaysiakini cuba membuat andaian bahawa Ku Seman “dipaksa” berhenti kerana menulis rencana berkaitan isu derma RM 2.6 bilion.

MYKMU juga menegaskan bahawa pengarang kelahiran Perlis itu lebih popular dengan penulisan kritikal dalam sastera dan sosial.

Menulis dalam kolum terakhirnya di Mingguan Malaysia semalam, Ku Seman mengakui “Utusan Melayu universiti saya” menjadi artikel terakhirnya, tanpa menyebut secara langsung sebab-sebabnya.

Bagaimanapun, sumber-sumber memaklumkan beliau meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan keputusan syarikat memindahkannya keluar daripada bahagian akhbar kepada sebuah anak syarikat.

Perkara itu dikaitkan dengan tulisan lantang beliau tahun lalu yang mempersoalkan integriti Umno dalam menjelaskan perkara sebenar isu derma yang diterima Najib.

'Selamat maju jaya'

Sementara itu, MYKMU juga melaporkan Jabatan Komunikasi dan Korporat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah pun menulis ucapan persaraan mereka kepada Ku Seman.

“Selamat bersara buat Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain yang telah menamatkan tugasnya di Utusan Melayu pada 26/03/16, terima kasih di atas segala komitmen dan sumbangan yang telah diberikan selama 32 tahun berkhidmat di Utusan Melayu.

"Selamat maju jaya dan semoga terus sukses dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini,” menurut jabatan itu, seperti disiarkan MYKMU.

Ku Seman tidak dapat dihubungi buat masa ini bagi mendapatkan sebab sebenar beliau berbuat demikian.

Usaha menghubungi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Aziz Ishak juga belum berhasil.


Tiada ulasan: