Selasa, 29 Mac 2016

Wartawan Australia berdepan tindakan jika kembali ke Malaysia

Zikri Kamarulzaman

 


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kerajaan boleh bertindak berhubung laporan kritikal Four Corners, terbitan Australian Broadcasting Corporation (ABC) ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Ini membuktikan bahawa mereka datang ke sini untuk mempersoalkan perdana menteri atas kapasiti sebagai wartawan tetapi tidak mendapat permit.

"Jadi selepas ini, kita akan ambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Apabila ditanya apa tindakan itu, beliau menjawab: "Jika mereka datang ke sini, kita akan membuat keputusan. Biar mereka datang dulu."

Mengenai sama ada mereka akan diusir pulang, Nur Jazlan berkata ia terpulang kepada Jabatan Imigresen tetapi terdapat alasan yang baik bagi berbuat demikian.

Wartawan Four Corners, Linton Besser dan pengendali kamera Louie Eroglu sebelum ini ditahan dan dihantar pulang semasa penggambaran dokumentari itu awal bulan ini.

Mereka cuba mengemukakan soalan mengenai aliran tunai ke dalam akaun Najib.

Semalam, ABC menyiarkan dokumentari yang mendakwa wartawan mereka telah ditunjukkan butiran akaun Najib oleh 'sumber pada peringkat tinggi' yang tidak dinamakan.

Dokumentari bertajuk 'State of Fear: Murder and Money in Malaysia' juga mendakwa bahawa rakyat negara ini hidup dalam ketakutan akan ditangkap.

Nur Jazlan menolak dakwaan itu dan berkata ia sebagai usaha untuk mencemarkan imej Malaysia.

Tiada ulasan: