Sabtu, 5 Mac 2016

Utamakan ‘kisah lama’ atau ‘demi masa depan’?

 
Pembangkang yang membenci Dr Mahathir kerana sejarah lampau sanggup bekerjasama dengan beliau kerana mahu jatuhkan Najib Razak.


kit-siang-mahathir

‘Kisah lama’ atau ‘demi masa depan’? Berikut adalah salah satu perbincangan yang timbul selepas pelancaran Deklarasi Rakyat semalam, yang menggabungkan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pembangkang dan NGO.

Semalam, 58 individu daripada pelbagai latar politik dan ideologi berkumpul bagi menandatangani apa yang dinamakan sebagai ‘Deklarasi Rakyat’, yang mempunyai satu matlamat utama – untuk mendesak pengunduran Datuk Seri Najib Razak dan ‘menyelamatkan Malaysia’ (maaf atas tanda kutip).

Tidak sedikit yang marah apabila melihat pemimpin pembangkang dan NGO ini sepentas dengan Mahathir – sosok yang sekian lama menjadi musuh mereka. Bagi yang marah, mereka telah mengkhianati perjuangan dan melupakan hakikat bahawa masalah sekarang adalah hasil air tangan Mahathir sendiri.

Apatah lagi selepas Mahathir sendiri sehingga sekarang enggan memohon maaf, atau paling kurang mengakui ada membuat kesilapan sepanjang 22 tahun mentadbir negara.

“Bagi tahu apa yang saya lakukan. Saya tolak dakwaan saya lemahkan badan kehakiman. Badan kehakiman semasa (pentadbiran) saya boleh mengharamkan UMNO,” katanya, seperti yang dilapor sebuah portal.

Selamba sungguh jawapannya, kerana badan kehakiman mula dilemahkan selepas itulah. Selepas Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas memutuskan UMNO sebagai pertubuhan haram, Mahathir meminda Perlembagaan untuk mengehadkan kuasa kehakiman. Dan siapa boleh lupa klip video ‘VK Lingam’?

Tetapi bagi yang sudah lelah dengan keadaan politik negara, penyatuan tersebut bagi mereka adalah satu harapan baru untuk Malaysia, yang bagi mereka sudah tenat dan selangkah menuju ‘negara gagal’.

Bagi Hishamuddin Rais – bekas tahanan ISA dan pernah hidup sebagai pelarian akibat diburu kerajaan – masa depan negara lebih penting berbanding ‘kisah lama’.

“Hal-hal (berbangkit) seperti ISA, kezaliman, ketepikan dahulu. Perkara yang lebih besar adalah untuk menjatuhkan Najib Razak. Ini jelas,” katanya ketika ditemui usai pelancaran Deklarasi Rakyat semalam.

Hishamuddin adalah salah seorang yang ditahan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001, kerana terlibat dalam gerakan Reformasi.

Soalan-soalan seputar hubungan Mahathir-pembangkang ketika sidang media semalam mendominasi sidang media, dan kebanyakannya tidak dijawab secara terus-terang.

Ketika wartawan bertanya kepada Lim Kit Siang berhubung kerjasama dengan Mahathir, beliau memberikan jawapan: “Saya alu-alukan seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit mengatasi apa sahaja (perbezaan).”

Mahathir pula, ketika ditanya sama ada beliau mempercayai pembangkang, berkata, “Itu tidak mengapa. Apa yang penting ialah bahawa kita adalah rakyat Malaysia.”

Ramai yang tidak berpuas hati dengan jawapan politik seumpama ini, yang jika dilihat sekali lalu, adalah satu penafian. Tetapi jawapan retorik ada kalanya menunjukkan kejujuran.

Bayangkan jika Lim Kit Siang menyifatkan Mahathir sebagai negarawan ulung, yang di sebalik kelemahannya, telah berjasa besar dalam membangunkan Malaysia. Dan Mahathir pula membalasnya dengan menamakan Lim Kit Siang selaku pejuang sejati, yang tanpa lelah mempertahankan demokrasi.

Sama ada ‘the rakyat’ suka atau marah, setuju atau bantah, dengan Deklarasi Rakyat, semuanya telah dan akan terus ditumpahkan ke status Facebook masing-masing dan di ruang komen berita-berita, seperti lazimnya. Semuanya betul dan akan berlalu pergi begitu sahaja, juga seperti lazimnya.

Kerana pada akhirnya, rakyat…maaf kerana bercakap bagi pihak kalian, saya perlu kembali kepada banyak hal yang menjadi kebimbangan seharian, masalah-masalah yang hanya boleh ditanggapi diri sendiri. Seperti kata Osman Tikus, “Brader, kita mesti terus hidup.”

Tiada ulasan: