Isnin, 7 Mac 2016

Umno sifatkan Deklarasi Rakyat sebagai kudis kecil

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Umno tidak akan melayan atau mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan beberapa pemimpin Umno yang menyertai gerakan meminta Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 
 
Sambil menyifatkan apa yang dilakukan kumpulan itu tidak akan memberi kesan serius kepada parti, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata fokus Umno kini adalah memperkukuh saf kepimpinan dan ahli parti. 
 
Malah beliau menganggap gerakan yang turut disertai pemimpin DAP, PKR serta Parti Amanah Negara (PAN) itu, sebagai 'kudis' kecil yang diyakini tidak akan mempengaruhi majoriti ahli Umno untuk menyertainya. 
 
"Saya pun tidak tahu mengapa Dr Mahathir boleh bersama pemimpin pembangkang termasuk DAP yang satu ketika dulu menjadi seteru kuat politiknya. 
 
"Kenapa perlu mesyuarat (tergempar), kepada Umno ini tidak akan menjadi kudis, kita akan buat cara kita, kita akan teruskan mandat yang diberi oleh rakyat kepada BN (Barisan Nasional)," katanya di sini hari ini. 
 
Tengku Adnan juga menjelaskan tindakan gerakan itu juga tidak akan menjejaskan persiapan Umno untuk menghadapi Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijadual berlangsung dalam masa terdekat. 
 
Terdahulu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyempurnakan perasmian Majlis Maulidur Rasul anjuran Persatuan Komuniti Masyarakat Aceh-Malaysia serta pecah tanah surau di Jalan Raja Bot, Kampung Bharu, di sini. 
 
Hadir sama, Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani. 
 
 

Tiada ulasan: