Selasa, 8 Mac 2016

Umno Gopeng gesa lucut jawatan Tun M dalam GLC


Umno Gopeng gesa lucut jawatan Tun M dalam GLC
Sidang media yang dihadiri ahli Umno Bahagian Gopeng, semalam.
 
IPOH - Umno Bahagian Gopeng menggesa kerajaan segera melucutkan kesemua jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Pengerusi Proton Holdings Bhd, Penasihat Petronas dan Pengerusi Yayasan Kepimpinan Perdana.

Ketuanya, Datuk Hamzah Mohd Kasim berkata, tindakan itu perlu diambil susulan tindakan bekas Perdana Menteri itu yang bersekongkol dengan pembangkang untuk kepentingan peribadi.

“Kami amat kecewa sekali dengan tindakan Mahathir,  (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin), (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir) dan bekas Ketua Wanita Umno Gopeng, Datuk Hamidah Osman yang menandatangani deklarasi itu,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, beliau sebelum ini pernah menyuarakan cadangan supaya Mahathir dan Muhyiddin dipecat daripada Umno kerana secara terbuka menghentam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pada Perhimpunan Umno lalu saya dah suarakan perkara ini tapi bila saya sentuh isu ini, saya pula disorak hanya kerana minta diambil tindakan terhadap individu terbabit," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Umno Bahagian Gopeng mahu Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Disiplin mengambil tindakan ke atas pemimpin Umno yang menyertai pembangkang dalam Deklarasi Rakyat.

“Mereka jelas ini sesuka hati cuba melemahkan parti malah mereka dilihat tidak menghiraukan perlembagaan serta peraturan etika parti.

“Penyertaan mereka dalam deklarasi  menyingkirkan Perdana Menteri memang tak boleh dimaafkan, mereka sudah melampau," katanya.

Sementara itu, Umno Bahagian Larut menyifatkan ahli Umno yang menandatangani deklarasi itu sebagai ‘duri dalam daging’ dan mahu Majlis Tertinggi dan Jawatankuasa Disiplin Umno mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Ketuanya, Faizul Arby Mohd Shohor berkata, ini kerana tindakan mereka itu bukan sahaja akan menjejaskan parti, malah kestabilan negara.

“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku dan kita akan bekerja keras bagi memastikan parti Umno terus kukuh dan berkuasa di tanah air demi membela nasib bangsa, agama dan negara,” katanya.

Faizul Arby berkata, Umno Bahagian Larut menyokong penuh Najib untuk terus memimpin negara tanpa rasa takut dan curiga.


Tiada ulasan: