Rabu, 23 Mac 2016

TIME ‘iktiraf’ Malaysia negara kedua rasuah di dunia

ARIF ATAN


Laman portal berita TIMELaman portal berita TIME


Malaysia sekali lagi terus dikenali di pentas antarabangsa tetapi dalam konteks negatif apabila tersenarai menduduki tempat kedua negara di dunia yang bergelut dengan rasuah.

Berada di bawah Brazil dalam senarai yang dikeluarkan majalah TIME versi ‘online’ itu, rekod tersebut dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditubuhkan Najib Razak pada tahun 2009.

Penulis, Ian Bremmer melalui artikel bertajuk, “These 5 Facts Explain the State of Global Corruption” antara lain berkata, hutang 1MDB sebanyak USD11 bilion pada tahun 2015 manakala USD681,000 telah didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Menurut majalah berita mingguan Amerika Syarikat itu, Najib mendakwa dana berkenaan adalah "hadiah" daripada keluarga diraja Arab Saudi dan kira-kira USD620,000,000 telah dikembalikan.

“Dua minggu lalu, siasatan 1MDB menemui bahawa jumlah yang disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib sebenarnya kira-kira USD1 bilion,” lapor TIME.
Artikel yang meletakkan Afrika Selatan di tangga ketiga diikuti China dan diakhiri Rusia itu turut menyebut Najib telah menyingkirkan Peguam Negara yang telah mengetuai siasatan 1MDB.
Tinjauan Malaysia Dateline di laman web TIME hari ini mendapati artikel yang dimuat naik pada 17 Mac lalu itu berada di tempat teratas daripada lima berita dalam senarai “Most Popular Stories”.

Bagaimanapun, paparan penarafan gejala rasuah tersebut berserta foto wajah Najib kononnya menjadi muka depan majalah TIME yang pada masa ini sedang viral di media sosial disahkan palsu.

Tiada ulasan: