Jumaat, 25 Mac 2016

Tiga ditahan reman kes pembelian aset MARA di Australia

ANTARAPOS.COM


Post Pic


PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan tiga suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kontroversi pembelian aset Dudley International House di Melbourne, Australia.

Dua suspek yang bergelar 'Datuk' adalah bekas pegawai MARA Inc dan pengarah syarikat berusia 42 tahun.

Keputusan tahanan reman dibuat oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman. Ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pagi semalam dan mereka diwakili peguam, Datuk K Kumaraendran.

Sebelum ini, akhbar Australia, The Age, dalam laporannya mendakwa beberapa pegawai tinggi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan seorang bekas ahli politik membelanjakan jutaan ringgit dana kerajaan Malaysia untuk membeli satu blok pangsapuri, Dudley International House, di Melbourne pada harga melebihi nilai pasaran.

Dudley International House ialah bangunan lima tingkat seluas 30,279 kaki persegi yang menempatkan 112 bilik termasuk asrama pelajar, dibeli oleh MARA untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaannya apabila melanjutkan pelajaran di Australia.

Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa, Sabtu lalu hadir ke SPRM bagi menyerahkan beberapa maklumat terkini berhubung pembelian unit hartanah berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, penyerahan maklumat berkenaan didorong rasa tanggungjawabnya untuk membantu pihak SPRM menjalankan siasatan dalam kes berkenaan.

Annuar juga mahu kes berkenaan diberi perhatian serius kerana keupayaan pihak MARA terbatas bagi menjalankan siasatan berhubung kes terbabit.

Tambah beliau, MARA tidak seharusnya menyembunyikan apa-apa maklumat mengenai pembelian blok pangsapuri Dudley International House pada 2013 dan perkara itu perlu diselongkar secara habis-habisan.

Tiada ulasan: