Khamis, 17 Mac 2016

Tiada salah kahwin gadis Iban

ABDUL JALIL ALI
 

TANPA menunggu lama, Tan Sri Adenan Satem segera meredakan suasana. Hanya sehari selepas dikritik Persatuan Siswazah Dayak Sarawak, Ketua Menteri Bumi Kenyalang itu memohon maaf.

Dengan rendah diri pemimpin yang terkenal tegas itu berkata, seperti yang dipetik sebuah portal berita: “Sekiranya ada mana-mana pihak terasa (tersinggung), saya memohon maaf.”

Semuanya gara-gara kenyataan beliau pada program ‘Minda di Tebingan Sungai Kuching’ sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke negeri itu Sabtu lalu. Ini kali ke-47 Najib berkunjung ke sana.

Dalam ucapannya Adenan berterima kasih atas kekerapan PM turun ke Sarawak (almaklumlah hendak pilihan raya negeri!). Walaupun kerap datang pemimpin No.1 dari Putrajaya itu masih belum boleh bertutur dalam bahasa Iban.

Maka pada majlis itu KM mencadangkan: “Jika Najib mahukan isteri baru beliau perlu mencari wanita di kalangan masyarakat Iban, agar dapat mempelajari bahasa Iban...” Beliau kemudian menambah sebelum mengakhiri ucapan: “Saya hanya bergurau.”

Meski hanya gurauan, Persatuan Siswazah Dayak tidak berkenan dengan kata-kata itu. Setiausahanya Bill Kayong meminta KM menarik balik kenyataan yang dianggap mempersenda itu. Sebagai pemimpin yang memahami nurani rakyat berbilang keturunan, Adenan akur dan memohon maaf.

“Saya ulangi...saya mengatakannya secara bergurau, suatu jenaka. Malah Perdana Menteri sendiri ketawa...beliau tahu ia bermaksud sebagai gurauan,” kata KM ketika memohon maaf, seperti yang dilaporkan Bernama.

Seperti yang dinyatakan Adenan memohon maaf sekiranya kata-kata tersebut menyinggung mana-mana pihak. Harap-harap Kayong – dan kalau ada pihak lain tidak kira lelaki atau wanita yang tersinggung – berasa lega dengan keikhlasan KM.

Tetapi pada hemat saya, yang empunya diri @ Najib sendiri tidak sedikit pun tersinggung. Malah, seperti yang ditegaskan Adenan ketika memohon maaf: “Perdana Menteri faham saya hanya bergurau, beliau pun ketawa semasa saya berucap.”

Sebenarnya kalau tidak bergurau pun cadangan pemimpin Bumi Kenyalang itu bukanlah sesuatu yang menyalahi undang-undang, dan pasti sekali tidak boleh didakwa di bawa Akta Rahsia Rasmi atau Akta Komunikasi Negara. Tidak juga ada unsur-unsur fitnah.

Gurauan atau tidak mencadangkan mana-mana lelaki bernikah dengan gadis dan wanita Iban bukanlah sesuatu luar biasa. Malah dalam hal-hal tertentu perkahwinan orang Sarawak atau Sabah dengan orang Semenanjung mungkin cara terbaik dan praktikal untuk integrasi 1Malaysia.

Lagi pun selama ini telah ramai orang sini berkahwin dengan orang sana, tidak ada masalah, hidup bahagia seperti pasangan-pasangan lain. Sama macam orang Johor kahwin orang Terengganu, orang Melaka kahwin orang Kedah.

Maka kalau PM berkenan dan yakin beliau mampu untuk berkahwin seperti yang diguraukan oleh KM, apa salahnya? Demikian juga sekiranya ada mana-mana pemimpin Sarawak dan Sabah terpikat dengan orang Pulau Pinang atau orang Negeri Sembilan, silakan!

Tambahan pula seperti gadis Semenanjung, orang Sarawak dan Sabah juga manis-manis belaka. Satu ketika dulu saya pernah ditugaskan di Sarawak selama setahun, bekerja di sebuah surat khabar mingguan berpejabat di Kuching.

Ketika itu, kira-kira tiga dekad lalu, mana-mana orang Semenanjung yang bertugas di Sarawak akan dipanggil sebagai ‘orang Malaya’.

Banyak daerah dan kawasan di negeri terluas itu saya kunjungi, terutama semasa membuat liputan ketua menteri ketika itu, Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaakub (telah arwah, semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman).

Jelas sekali pada pandangan mata kasar dan mata hati saya, gadis-gadis di sana – Iban, Bidayuh, Melanau dan lain-lain suku – cantik. Bukan sahaja manis dan jelita, mereka juga manja, berpekerti mulia, berbudi bahasa. Maka tidaklah saya terkejut jika ramai jejaka Malaya termasuk pasukan beruniform, guru, penjawat awam hatta pegawai tinggi yang tersangkut hati dan berkahwin di sana.

Saya sendiri pun terpikat pada seorang gadis Bidayuh yang sama-sama bermukim di Satok. Kulit kuning langsat, manis senyumnya dan kemanjaannya susah untuk dilenyapkan dari ingatan. Sampai sekarang jika ke Kuching, saya selalu terpesona dengan wanita dan gadis di sana.

Tetapi setakat terpesona dengan senyuman, belum terniat untuk kahwin satu lagi. Sebab, seperti kebanyakan suami – tidak kira kedudukan dan keturunan – saya pun takut isteri!


Tiada ulasan: