Khamis, 10 Mac 2016

Tiada rancangan semak semula kadar GST

SINAR HARIAN


GST


KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memandangkan kadar enam peratus yang ditetapkan adalah munasabah, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata sebelum GST dilaksanakan, kajian terperinci telah dibuat bagi memastikan kadarnya paling sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

"Ia mengambil kira kedudukan kadar cukai sebelum GST iaitu 10 peratus bagi barangan dan enam peratus bagi perkhidmatan.

"Di samping itu pelbagai faktor lain termasuk komposisi sumbangan hasil sektor tertentu, beban cukai ke atas pengguna, struktur cukai pendapatan dan pakej bantuan kepada pengguna dan perniagaan diambil kira selaras objektif untuk mewujudkan sistem percukaian yang berdaya saing," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Johari menjawab soalan Wong Tien Fatt@Wong Nyuk Foh (DAP-Sandakan) yang bertanya sama ada kerajaan akan menimbang untuk menyemak semula kadar GST memandangkan pendapatan kerajaan semakin menurun akibat kejatuhan harga minyak antarabangsa.

Mengenai cadangan Wong agar kerajaan menurunkan kadar GST bagi Sabah memandangkan penduduk membayar kadar harga barangan lebih tinggi berbanding di Semenanjung, Johari berkata kadar semasa masih sesuai.

"Ini kerana banyak keperluan yang tidak dikenakan GST (sifar GST) seperti barangan makanan asas, ternakan seperti ayam dan daging, produk pertanian, makanan laut serta pengangkutan awam, perumahan dan pendidikan.

"Kerajaan juga sentiasa menambah kemudahan bantuan seperti Kedai Rakyat 1Malaysia dan bantuan terus seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hasil daripada kutipan cukai GST," katanya.

GST mula dikuatkuasakan di negara ini mulai 1 April 2015, pada kadar enam peratus menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan pada kadar 16 peratus. -Bernama


Tiada ulasan: