Selasa, 22 Mac 2016

Tiada pemimpin PAS dilarang masuk Sarawak

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengesahkan sehingga kini tiada pimpinannya dihalang memasuki Sarawak meskipun ramai pemimpin pembangkang mendakwa disekat daripada berbuat demikian.
 
"Tidak ada, tidak ada," kata Hadi ringkas ketika ditemui pemberita di luar Dewan Rakyat, pagi tadi.
 
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika diajukan apakah pemimpin parti Islam itu juga dikenakan sekatan daripada memasuki Sarawak.
 
Terdahulu, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu ditahan di Lapangan Terbang Sibu ketika melalui Imegresen pada jam 10.30 pagi tadi.
 
Beliau hadir ke Sarawak untuk lawatan kerja dua hari sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
 
Sebelum ini beberapa pemimpin pembangkang dilaporkan dilarang memasuki Sarawak atas pelbagai alasan.
 
Antaranya adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, anggota Parlimen Subang R Sivarasa, anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok.
 
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed memaklumkan hak larangan ke atas mana-mana individu bagi memasuki Sarawak tertakluk kepada kerajaan negeri itu.
 
"Akta Imigresen untuk Sabah dan Sarawak ditadbir oleh negeri itu.
 
"Kerajaan Sarawak berhak untuk membuat keputusan sama ada untuk membenarkan sesiapa masuk atau mengusir sesiapa dari negeri itu," katanya.
 
Malah Kementerian Dalam Negeri juga tidak perlu dimaklumkan tentang tindakan yang dilakukan kerajaan negeri.
 
Situasi itu berbeza dengan isu dua wartawan daripada Australia yang dihalang daripada bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memerlukan kebenaran khas atas alasan bertugas.
 
 

Tiada ulasan: