Rabu, 9 Mac 2016

Tiada isu perlekeh Agong, Kit Siang hanya merujuk amalan Parlimen

Lim Lip Eng

Oleh Syazana Hasanudin

KUALA LUMPUR: Titah ucapan Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan pembukaan sidang Parlimen sememangnya ucapan dasar-dasar kerajaan, malah perkara itu dipelajari semua pelajar undang-undang di universiti, kata Lim Kit Siang.

Sehubungan itu, jelas Ketua Parlimen DAP, kenyataan beliau bahawa titah Seri Paduka ketika merasmikan pembukaan sidang Parlimen keempat penggal ke-13 itu disediakan oleh kerajaan hanya menjelaskan amalan dan prinsip asas Parlimen dan Perlembagaan di negara ini.

Justeru, beliau berkata, tiga individu yang membuat laporan palsu terhadapnya semalam terbukti berniat memburuk-burukkannya dengan mendakwa kononnya beliau cuba memperlekeh Yang di-Pertuan Agong sedangkan beliau (Kit Siang) hanya menyuarakan hakikat dan fakta.

“Titah ucapan Yang di-Pertuan Agong ketika pembukaan sidang Parlimen memang ucapan dasar kerajaan. Perkara itu diketahui semua pelajar undang-undang.

“Apa yang amat memeranjatkan ialah, ada Menteri dan ahli parlimen UMNO-BN begitu jahil tentang prinsip asas Perlembagaan dan Parlimen sehingga menyebelahi laporan palsu tiga individu itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengulas tindakan tiga individu yang membuat laporan polis terhadapnya atas dakwaan menghasut selepas portal berita Malaysiakini melapor kenyataan beliau bahawa teks ucapan Yang di-Pertuan Agong disediakan oleh kerajaan.

Menurutnya, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, telah pun membuat laporan polis terhadap ketiga-tiga individu itu kerana memberi maklumat palsu ketika membuat dakwaan.

“Titah ucapan Yang di-Pertuan Agong merupakan ucapan dasar kerajaan. Oleh sebab itu, pindaan terhadapnya adalah kerap di negara-negara Komanwel lain seperti United Kingdom, Australia atau India.

“Ia juga merupakan sebab mengapa dua hari dari tempoh 10 hari di peringkat penggulungan itu diberi kepada Menteri untuk mempertahankan dasar kerajaan yang terkandung dalam titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

“Memandangkan ucapan itu merupakan ucapan dasar kerajaan, adalah pelik jika Menteri Kabinet memuji diri sendiri selepas mendapat penghormatan dalam ucapan tersebut, seolah-olah mereka tidak tahu bahawa ia sepatutnya membincangkan tentang dasar,” katanya. – Roketkini.com 


Tiada ulasan: