Ini
adalah kenyataan media terbaru oleh Muhyiddin Yassin yang dipetik
daripada laman Facebooknya berhubung kehadirannya menandatangani
Deklarasi Rakyat bersama Tun Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin
pembangkang pada Jumaat lalu.
Penyertaan
saya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa bekas pemimpin UMNO dan
Barisan Nasional dalam sidang akhbar upacara menandatangani Deklarasi
Rakyat yang diketuai oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengundang
kritikan daripada segelintir pemimpin UMNO. Mereka nampaknya tidak
senang dengan kejayaan Tun Dr Mahathir menghimpunkan tokoh-tokoh BN,
Pakatan Harapan, PAS dan masyarakat sivil untuk duduk bersama mendesak
Datuk Seri Najib supaya berundur.
Agak
malang apabila mereka menggunakan kehadiran Penasihat DAP Lim Kit Siang
dalam upacara tersebut untuk menggambarkan seolah-olah Deklarasi Rakyat
adalah agenda DAP untuk menghancurkan UMNO dan seterusnya melabel Tun
Mahathir sebagai pengkhianat perjuangan UMNO.
Tuduhan
ini sama sekali tidak benar. Deklarasi Rakyat bukan agenda mana-mana
parti politik. Ia terbit daripada kesedaran individu daripada pelbagai
latar belakang sosial dan politik yang sedar bahawa kedudukan Najib
sebagai Perdana Menteri sudah tidak wajar lagi memandangkan beliau
terpalit dengan pelbagai skandal kewangan yang menjejaskan keyakinan
rakyat kepada beliau untuk memimpin Malaysia. Malah imej negara kita
juga terjejas teruk di peringkat antarabangsa. Hakikatnya, Deklarasi
Rakyat adalah perjuangan rakyat yang merentasi ideologi politik, kaum
dan agama untuk menentang kemungkaran, menyelamatkan Malaysia dan
menebus kembali maruah negara.
Turut hadir
dalam majlis tersebut ialah tokoh-tokoh seperti Tun Ling Liong Sik, Tan
Sri Sanusi Junid, Tan Sri Aziz Yassin, Datuk Seri Azmin Ali, Datuk
Kamaruddin Jaafar, Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Mustafa
Ali, Dato' Dr Khairuddin Al-Takiri, Datuk Kadir Jasin, Hj Mohamad Sabu,
Salahuddin Ayub dan ramai lagi. Jika Najib boleh duduk sepentas dengan
Presiden PAS Datuk Seri Hj Hadi Awang atas nama kerjasama politik,
mengapa pula Tun Mahathir, saya dan Mukhriz tidak boleh duduk semeja
dengan tokoh-tokoh di atas untuk menyelamatkan Malaysia? Mengapa perlu
digunakan standard yang berbeza untuk kami berbanding Najib?
Pada
hemat saya orang-orang di sekeliling Najib sebenarnya bimbang akan
kesan inisiatif Tun Mahathir terhadap kedudukan ketua mereka sebagai
Perdana Menteri. Deklarasi Ini bukan sahaja mendapat sokongan tokoh
daripada pelbagai latarbelakang politik, malah turut disokong oleh
pelbagai lapisan rakyat yang mula menandatangani dokumen ini secara atas
talian. Saya percaya lebih ramai rakyat akan tampil menyatakan sokongan
mereka terhadap Deklarasi Rakyat dalam masa terdekat. Sudah pasti
perkembangan ini amat membimbangkan Najib dan orang-orang sekelilingnya.
Sebaliknya,
yang tidak demokratik adalah mereka. Terbaharu, maklumat berkaitan 1MDB
tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi. Kita tahu bahawa skandal 1MDB telah
menjadi isu besar yang menarik perhatian rakyat dan masyarakat
antarabangsa. Malah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara juga sepatutnya
membentangkan hasil siasatan mereka ke atas 1MDB di Dewan Rakyat, iaitu
institusi demokrasi tertinggi negara, untuk pengetahuan umum. Adakah
kerajaan pimpinan Najib ingin menyorok lebih banyak penyelewengan
berhubung skandal 1MDB daripada pengetahuan rakyat? Adakah ini satu
tindakan yang demokratik?
Mereka juga berkata
seorang Perdana Menteri tidak boleh dijatuhkan kecuali menerusi
pilihanraya. Di sinilah letaknya kesilapan besar mereka. Jika sebahagian
besar rakyat menolak kepimpinan Najib, maka sewajarnyalah Najib
berundur sekarang. Jangan tunggu sampai pilihanraya. Jika rakyat menolak
Najib dalam pilihanraya bermakna mereka akan menolak BN secara total.
Ini akan menyebabkan BN kalah dalam pilihanraya.
Tujuan
Deklarasi Rakyat ialah untuk mendesak Najib supaya meletak jawatan
sebagai Perdana Menteri. Peletakan jawatan Najib tidak akan menyebabkan
kerajaan BN digulingkan. Sebaliknya, ia akan memberi laluan kepada
proses tindakan undang-undang diambil terhadapnya dan beliau diadili
dengan seadilnya di mahkamah. Seterusnya, reformasi institusi secara
total perlu dilaksanakan untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih,
telus dan amanah.
Justeru, mereka menggunakan
pelbagai alasan yang pelik untuk mencemuh deklarasi ini. Ada yang
mengatakan kononnya deklarasi ini tidak demokratik. Saya ingin beritahu
mereka bahawa dalam sebuah negara yang demokratik, hak rakyat untuk
menyuarakan pandangan adalah dijamin oleh Perlembagaan. Ini termasuk
untuk menyatakan sikap terhadap kerajaan dan kepimpinan negara. Meminta
seorang Perdana Menteri berundur oleh kerana pembabitannya dalam skandal
kewangan adalah sebahagian daripada hak rakyat dalam sebuah negara
demokrasi.
Desakan supaya Perdana Menteri
berundur tanpa menunggu pilihanraya dengan tidak mengubah kerajaan sedia
ada bukan perkara baharu sebagaimana yang pernah berlaku di zaman
pimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan terakhir Tun Abdullah
Ahmad Badawi yang berundur untuk memberi laluan kepada Najib. Dalam
semua keadaan kerajaan BN pada waktu itu tidak terjejas.
Cuma
yang berbeza ialah latar belakang tuntutan berundur adalah atas sebab
politik bukan atas isu skandal yang berkait dengan persoalan moral dan
integriti sebagaimana yang berlaku terhadap pimpinan Najib sekarang. Ia
bukan lagi isu kepimpinan UMNO, tetapi sudah melimpah menjadi isu
negara. Justeru pemimpin dari pelbagai latar belakang politik sanggup
mengenepikan perbezaan dan bersatu azam semata-mata untuk menyelamatkan
negara. Dengan langkah berani ini, amat tidak wajar kami dianggap
menjual maruah dan harga diri, bangsa dan agama.
Jika
pemimpin UMNO dan BN masih terperangkap dalam sindrom penafian dan
terus menerus mempertahankan seorang individu yang tidak dapat
dipertahankan dari segi neraca undang-undang, moral dan agama, maka
rakyat akan menolak UMNO dan BN secara total. Penolakan rakyat bukanlah
disebabkan oleh Deklarasi Rakyat, tetapi kerana kegagalan pemimpin UMNO
untuk mengemudi bahtera UMNO sehaluan dengan nilai-nilai yang dipegang
oleh rakyat, iaitu kejujuran, kebertanggungjawaban, ketelusan dan
keadilan dalam memikul amanah kepimpinan.
Ada
pihak yang sengaja menggunakan sentimen kaum dan agama untuk menutup
kelemahan mereka. Kononnya saya dan rakan-rakan yang lain telah
menggadai perjuangan untuk agama, bangsa dan negara setelah
menandatangani Deklarasi Rakyat.
Ini adalah satu tuduhan yang amat tidak berasas.
Selama
40 tahun saya di dalam politik, tidak pernah sedetikpun saya bertindak
menggadai prinsip perjuangan saya. Tidak masuk akal tindakan saya
menggesa Najib meletakkan jawatan kerana kemungkaran yang terpalit
kepadanya, maka saya dikatakan menggadai perjuangan untuk agama, bangsa
dan negara. Bukankah menentang kemungkaran itu satu kewajipan dalam
Islam? Saya sebagai seorang Muslim, hanya menjalankan kewajipan saya di
sisi agama. Saya yakin rakyat, terutamanya orang Melayu, cukup bijak
untuk menilai mana yang hak dan mana yang batil.
Di
sisi Islam, perjuangan menentang kemungkaran menentukan tahap keimanan
seorang Muslim. Saya tidak mahu disoal diakhirat kelak apa yang saya
buat untuk menentang kemungkaran ketika saya masih berupaya untuk
melakukannya. Saya tahu bahawa ia bukan sesuatu yang mudah dan amat
menguji kesabaran. Tetapi saya yakin bahawa Allah s.w.t akan sentiasa
bersama-sama orang yang sabar.
MUHYIDDIN YASSIN
8 Mac 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan