Sabtu, 19 Mac 2016

Tak timbul perjuangan hudud PAS berubah

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Tidak timbul isu pendirian PAS berubah berhubung pelaksanaan hudud selepas parti itu menjalinkan kerjasama bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), kata Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
 
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, setiap parti mempunyai dasar dan perjuangan masing-masing, justeru IKATAN serta PAS mengamalkan konsep saling hormat-menghormati. 
 
"Ertinya, dalam sebarang bentuk muafakat antara dua parti, setiap parti ada pendirian tersendiri dalam pelbagai isu, ada dasar tersendiri yang diperjuangkan.. Tetapi yang boleh menyatukan kita ialah sikap saling menghormati pendirian masing-masing.
 
"Itulah point yang kita tampilkan dalam sidang media itu, saling menghormati," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (PAN), Dr Dzulkefly Ahmad yang mendakwa PAS telah mengubah pendirian bersabit soal pelaksanaan hudud selepas bekerjasama dengan IKATAN.
 
Ujar Dzulkefly yang juga bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu, PAS sebelum ini menuduh pihak yang menolak pelaksanaan hudud sebagai golongan liberal, walaupun pihak berkenaan mengutarakan alasan penolakan terhadap hukum itu atas hujah memerlukan persekitaran kondusif, tidak bertepatan dengan keutamaan dan umat yang belum bersedia.
 
Namun ujarnya kini PAS telah menggunakan hujah yang sama untuk memberi alasan mengapa hudud tidak boleh dilaksanakan ketika ini di Malaysia pada sidang media bersama IKATAN Rabu lalu.
 
Menyangkal dakwaan itu, Khairuddin sekali lagi menjelaskan bahawa kenyataan Presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir pada sidang media berkenaan secara terang menyebut pelaksanaan hudud terserah kepada rakyat dan sistem demokrasi.
 
"Sebab itulah kita bawa hudud ini menerusi saluran demokrasi. Kita bawa ke parlimen, (itu proses) demokrasi.
 
"Jadi isunya ialah kita menghormati demokrasi, sama juga IKATAN menghormati hak demokrasi mana-mana parti. Jadi itu sudah cukup untuk kita bersatu.
 
"Bukan maknanya setiap parti kena gugurkan perjuangan masing-masing. Itu bukan satu muafakat," katanya.  
 
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, PAS melakukan proses untuk membolehkan pelaksanaan hudud menerusi saluran yang betul dan terus melakukannya mengikut apa yang termampu.
 
"Isu hudud tidak berbangkit sekarang di kala mana meraka sekarang masih belum punyai sebarang kerusi.
 
"Persefahaman antara PAS dengan IKATAN adalah persefahaman untuk menanagani isu semasa negara melibatkan rasuah, ketirisan dan sebagainya," kata beliau.
 
 

Tiada ulasan: