Rabu, 16 Mac 2016

Sungguh mahu selamatkan Malaysia?



Oleh Hasril Nasril


Filem Hunger Games merupakan satu filem yang menarik untuk dibincangkan apabila dikaitkan dengan realiti apa yang berlaku di negara kita sekarang.

Menarik diperhatikan masyarakat di dalam filem tu dilalaikan dengan rancangan realiti dimana penentang dari setiap district berbunuhan sama sendiri untuk menjadi juara gelanggang Hunger Games. Jikalau di dalam konteks negara kita, ada juga rancangan realiti seperti itu, Maharaja Lawak sebagai contoh, program melalai dan memperbodohkan rakyat.

Katniss, watak utama di dalam filem tersebut, sedar untuk melawan Presiden Snow, pemimpin diktator negara Panem, beliau perlu lawan sistem, bukan bergaduh sama sendiri dalam gelanggang Hunger Games.
Sebab itu beliau merosakkan terus gelanggang apabila beliau melepaskan anak panah berkuasakan kuasa elektrik ke atas bumbung gelanggang. Beliau juga tidak mengumpulkan rakan dan lawan dengan membacakan deklarasi bahawa Snow perlu berundur. Beliau melawan terus. Anak muda. Hatinya panas.

Mereka yang melawan dengan membaca teks dan menandatangani deklarasi cuma elok untuk mereka yang sudah berumur dan hampir tamat tempoh.

Ketokohan Katnis melawan Snow menarik minat Coin, pemimpin puak penentang yang mahu menggulingkan Snow. Maka, Katniss diangkat menjadi ikon untuk untuk melawan rejim, juga untuk tujuan propaganda.

Dipendekkan cerita, propaganda Katniss berjaya menyedarkan rakyat dari setiap district untuk bangkit melawan Snow. Beliau turun ke bawah. Revolusi bersenjata berlaku. Snow berjaya digulingkan dengan pertumpahan darah.

Apa yang menarik berlaku di hujung filem, apabila Katniss mendapat tahu bahawa Coin yang mengarahkan bom dijatuhkan kepada orang awam sewaktu puak penentang mara ke lapisan terakhir untuk menggulingkan Snow. Ini dilakukan Coin supaya kebencian terhadap Snow bertambah dan tiada siapa akan mempertahankan beliau lagi.

Menyedari bahawa Coin memperkudakan beliau untuk komplot tersebut, juga Coin cuma diktator baru mengganti diktator lama, Katnis akhirnya bertindak membunuh Coin dengan melepaskan anak panahnya tepat ke dada Coin, yang dirancang terlebih dahulu untuk menghukum bunuh Snow. Katniss kemudian membiarkan rakyat yang merusuh membunuh Snow dengan tangan mereka sendiri.

Sungguh mahu selamatkan Malaysia? Negara kita mewarisi satu sistem yang rosak. Untuk membetulkannya bukan dengan bergaduh sesama kita di dalam gelanggang ciptaan sistem itu sendiri.

Sistem itu seharusnya dipecahkan.Sungguh-sungguh. Selepas sistem dipecahkan, ia haruslah dipastikan tidak diganti oleh pengganti yang berkemungkinan menjadi diktator yang baru.

Kepada siapa kita harus harapkan? Bukan kepada politikus-politikus dan aktivis-aktivis yang sudah berumur, apatah lagi bekas diktator, tetapi anak-anak muda, mahasiswa, yang menganggur, yang bekerja cukup makan, yang sudah meluat dengan sistem. Kita perlukan seorang ikon anak muda yang berani seperti Katniss. Bukan ikon kaki selfie menjual muka, ikon yang cuma pandai berdebat, atau ikon yang mempunyai pengikut yang ramai di media sosial.

Siapa ikon yang kita perlukan untuk menyalakan ‘spark’ itu? Tepuk dada tanya selera, bukan campak mic ke dinding!

Tiada ulasan: