Isnin, 14 Mac 2016

Sukarelawan festival SXSW suruh atlet Islam buka hijab, penganjur mohon maaf

Syafique Shuib, Astro Awan
 
Sukarelawan festival SXSW suruh atlet Islam buka hijab, penganjur mohon maaf
Atlet lawan pedang Ibtihaj Muhammad merupakan atlet pertama dari pasukan Olimpik AS yang memakai hijab. -AP PHOTO
 
 
KEMERIAHAN festival popular South by Southwest (SXSW) di Texas tercalar setelah seorang sukarelawan menyuruh seorang atlet Amerika Syarikat (AS) yang beragama Islam membuka hijab.

Lapor The Huffington Post, kejadian berlaku ketika seorang sukarelawan yang menjaga pendaftaran masuk menyuruh Ibtihaj Muhammad, seorang atlet lawan pedang, membuka hijab untuk merakam gambar bagi proses pendaftaran.

Ibtihaj merupakan atlet pertama dari pasukan Olimpik AS yang memakai hijab.

“Setelah menjelaskan saya tidak boleh buka hijab atas tuntutan agama, beliau mahu saya terus membuka hijab untuk menerima kad pendaftaran saya,” jelas Ibtihaj di Twitter.

Tidak cukup dengan itu, beliau berkata beliau terima kad dengan nama dan organisasi yang salah.

Penganjur SXSW memohon maaf atas insiden berkenaan.

“Ia bukan dasar kami untuk menyuruh orang membuka hijab untuk mendapatkan lencana SXSW.
“Salah satu sukarelawan telah membuat permintaan yang tidak sensitif dan orang itu tidak dibenarkan untuk meneruskan tugasan beliau sepanjang tempoh acara itu,” kata penganjur dalam satu kenyataan.

SXSW merupakan festival tahunan yang memberi fokus kepada muzik, filem dan teknologi dan sering dilihat sebagai acara yang progresif. 

Tiada ulasan: