Ahad, 20 Mac 2016

SPRM Tahan Setiausaha Bahagian Kementerian Terima Habuan RM20 Juta


Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 

Azam menunjukkan antara barangan mewah berjenama yang disita daripada mereka yang ditahan SPRM kerana terlibat dalam sindiket menyalahgunakan dana kerajaan.

Dikemaskini PUTRAJAYA: Seorang setiausaha bahagian di sebuah kementerian ditahan pada Jumaat selepas disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket penyalahgunaan dana kerajaan mencecah lebih RM100 juta.

Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berkata, sindiket itu dibongkarkan menerusi Ops Tiris yang dilancarkan suruhanjaya itu pada 17 Mac lalu.

Beliau berkata, pegawai kanan itu menerima suapan dianggarkan RM20 juta.

Tambahnya, pegawai kanan berusia 56 tahun yang berperanan sebagai dalang adalah antara sembilan ahli sindiket yang ditahan pada Jumaat termasuk seorang wanita.

"Siasatan mendapati, modus operandi sindiket ialah mengarahkan pihak kewangan sebuah agensi di bawah kementerian itu membuat bayaran kepada tidak kurang 14 syarikat yang dikendalikan oleh ahli-ahli sindiket ini bagi mewujudkan program tetapi kerja-kerja tidak pernah dilaksanakan.

"Tiada sebarang tuntutan dikemukakan oleh syarikat-syarikat itu kepada agensi berkenaan tetapi pegawai kanan terbabit memainkan peranan supaya memastikan bayaran dibuat kepada syarikat-syarikat tersebut," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini, Sabtu.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pegawai kanan itu berkhidmat dengan kerajaan selama kira-kira 32 tahun dan separuh daripada tempoh khidmatnya di kementerian berkenaan.

Tambahnya, pegawai kanan berkenaan mula memegang jawatan sebagai setiausaha bahagian kementerian tersebut sejak 2008.



Menurut Azam, pegawai kanan itu menerima habuan daripada pihak kontraktor antaranya rumah, kereta mewah, pembayaran insurans dan unit amanah bernilai jutaan ringgit termasuk kemudahan kad kredit 'supplementary'.

"Pegawai kanan ini hidup mewah sehingga mampu membeli jam-jam tangan berjenama, satu daripadanya tidak kurang RM400,000, barang-barang kemas antaranya bernilai tidak kurang RM600,000, berpuluh-puluh beg tangan berjenama ada antaranya berharga RM400,000 dan pakaian berjenama.

"Beliau juga kerap ke luar negara bersama keluarga sehingga mampu menggunakan penerbangan kelas pertama setiap seorang," katanya.

Menurut Azam, hasil siasatan setakat ini menunjukkan kegiatan sindiket telah berlaku sejak 2010.
"Tetapi kita tidak menolak kemungkinan ia telah berlaku beberapa tahun sebelum itu. Siasatan akan dilakukan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, SPRM telah membekukan sebanyak 69 akaun bernilai RM8.33 juta dan membekukan harta-harta lain seperti rumah, kenderaan mewah, barang kemas dan barang berjenama.

Azam berkata, kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan.

"Kita akan panggil saksi-saksi daripada kementerian terbabit bagi menyiasat bagaimana dia hidup mewah.
"Kita juga akan melihat sistem dan prosedur kementerian berkenaan sehingga berlakunya ketirisan dana yang mengakibatkan kerugian kepada kerajaan," katanya.

Siasatan dijalankan di bawah kesalahan rasuah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan kesalahan penggubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Tiada ulasan: