Isnin, 14 Mac 2016

Siasat dakwaan BN guna RM1.5b untuk PRU13

Siasat dakwaan BN guna RM1.5b untuk PRU13
Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik (dua, kanan) dan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong (kanan) menyerahkan laporan yang menuntutkan siasatan dilakukan SPR kepada wakil SPR iaitu pegawai khas Pengerusi SPR, Mohd Syukor Khalid (dua, kiri).


PUTRAJAYA  - DAP menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat perbelanjaan berjumlah RM1.5 bilion yang didakwa digunakan BN dalam PRU13 lalu.

Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik berkata, perbelanjaan BN itu telah melebihi 15 kali ganda jumlah yang dibenarkan untuk kerusi Parlimen dan Dun serta melanggar Seksyen 19 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. .

“BN telah bertanding 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun dalam pilihan raya yang lepas untuk 12 buah negeri kecuali Sarawak yang tiada pilihan raya negeri. Jadi perbelanjaan tidak boleh lebih daripada RM94.9 juta.

“Dengan jumlah RM 1.5 bilion yang dibelanjakan ini maka ia lebih 15 kali ganda daripada apa yang boleh digunakan. Jumlah ini memang tidak boleh dibenarkan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan laporan yang menuntut siasatan dilakukan SPR kepada pegawai khas Pengerusi SPR, Mohd Syukor Khalid, di sini, hari ini.

Turut serta pada sidang akhbar berkenaan ialah Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong.

Katanya, SPR perlu membuka kertas siasatan segera dan dituntut melakukan siasatan dengan adil dan bebas.

“Jangan hanya terima laporan, tetapi tiada tindakan selanjutnya. Kita juga menuntut supaya satu siasatan yang adil lagi bebas dijalankan dengan serta merta ke atas BN termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi BN,” katanya.

Dalam pada itu, Kok Seong berkata, laporan yang dikemukakan kepada SPR ini berikutan kenyataan  oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

“SPR perlu menunjukkan pendirian kerana ini pendedahan yang cukup serius dan saya rasa satu tindakan perlu diambil terhadap mereka yang terbabit. RM 1.5 bilion ini bukan satu angka yang kecil.

“Saya dari Negeri Sembilan, bajet untuk kerajaan Negeri Sembilan cuma setahun lebih kurang RM400 juta sahaja. Kalau RM 1.5 bilion, boleh dibelanjakan lebih kurang lima tahun di Negeri Sembilan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Pengerusi SPR yang baharu, Datuk Seri Mohd Hashim dapat membawa perubahan terhadap sebarang aduan yang dikemukakan kepada SPR.

“Saya amat berharap SPR dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap tuduhan ini serta mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat sama ada mereka akan mengambil tindakan atau sebaliknya,” katanya.

Ujarnya, dalam soal perbelanjaan pilihan raya, pembangkang termasuk DAP tidak mempunyai dana yang sebegitu banyak.

“Kalau ada dana yang sebegitu banyak tak perlulah kami membuat kutipan derma ketika kempen mahupun ceramah. Paling pelik sekali, RM 1.5 bilion telah dibelanjakan tetapi masih tidak boleh menang.

“Pembangkang masih boleh mengekalkan kebanyakan kerusi yang dimenangi pada 2008. Saya rasa ini telah menunjukkan bahawa rakyat kini telah pun matang,” katanya.


Tiada ulasan: