Ahad, 6 Mac 2016

Shahrir minta UMNO tumpu PRU14, bukan Tun Mahathir

Nizam Bakeri, Astro Awani
 
Shahrir minta UMNO tumpu PRU14, bukan Tun Mahathir
Tan Sri Shahrir Samad turut mengingatkan golongan pengundi muda agar berhati-hati dalam mendengar dan menapis isu di laman sosial - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad menegaskan UMNO kini perlu memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan bukannya mengalihkan tumpuan kepada isu-isu sampingan.

Ini termasuk isu yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahupun usaha pembangkang menjatuh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya rasa yang menjadi tanggungjawab (Datuk Seri) Najib sekarang untuk bergerak ke arah persiapan pilihan raya dan ia tidak lama lagi iaitu dua tahun lebih sahaja,” ujarnya dalam temubual bersama Mingguan Malaysia yang disiarkan hari ini.

Shahrir turut menjelaskan UMNO Johor khususnya telah pun memulakan gerakan persiapan sejak pilihan raya umum ke-13 (PRU13) berakhir dan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin diharap tidak menjejaskan persediaan tersebut.

“Kalau kita dalam parti, kita kena terima itu tanggungjawab kita,” tambah Shahrir sambil mengingatkan Muhyiddin masih lagi ahli UMNO.

Antara Muhyiddin dan Musa Hitam

Shahrir turut membandingkan tindakan Muhyiddin dengan seorang lagi mantan Timbalan Presiden UMNO iaitu Tun Musa Hitam yang kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO walaupun meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan hanya menyuarakan kritikan ketika pemilihan UMNO berlangsung.

“Dia (Muhyiddin) kata akan terus bersuara. Jadi, benda itu akan terus berjalan begitu sahajalah. Soalnya, adakah isu itu boleh bertahan dalam suasana seluruh parti sedang bersedia untuk pilihan raya?”

BACA: Muhyiddin perlu dikenakan tindakan tegas, Dr M semakin tak rasional

BACA: Muhyiddin, nilailah semula sementara peluang masih ada - Annuar Musa

VIDEO: Tiada guna kekal jika musnahkan parti dari dalam

Mahathir tiada pilihan

Tindak-tanduk Dr Mahathir dan pembangkang kebelakangan ini dilihat oleh Shahrir sebagai kehabisan cara untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Dua cara yang sah dalam sistem politik negara, menurut Shahrir, hanyalah menerusi pemilihan parti atau usul tidak percaya yang dikemukakan dalam Parlimen.

Cubaan menolak bacaan bajet dan usul Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) oleh beberapa ahli Parlimen yang gagal baru-baru ini dianggap Shahrir sebagai isyarat bahawa usul tidak percaya ke atas Najib di Parlimen tidak akan berjaya.

Beberapa pemimpin utama UMNO pula telah tampil dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri selepas Deklarasi Rakyat diumumkan.

BACA: PM Malaysia dipilih melalui perundangan dan demokrasi - Ahmad Zahid

BACA: Tun Mahathir berkawan semula dengan pihak yang gelarkannya 'Firaun' - Hishammuddin

BACA: Tun Mahathir 'desperate' mahu kacau pentadbiran negara - Mas Ermieyati
BACA: Pengkhianatan Tun M tidak boleh dimaafkan - Reezal Merican

BACA: Siapa Tun M desak Najib letak jawatan? - Azwan Bro

VIDEO: Tun M diperdaya, ada 'tangan gelap' cuba jatuhkan Najib

“Kecuali dia hendak guna cara Arab Spring iaitu demonstrasi jalanan. Itu ada risiko kepada negara kerana apa yang berlaku pada Arab Spring tidak menampakkan kebaikan kepada negara-negara yang terlibat.”

Jumaat lalu, Dr Mahathir menandatangani Deklarasi Rakyat dengan bekas pemimpin kanan negara, pemimpin pembangkang, aktivis politik dan ketua badan bukan kerajaan (NGO).

Deklarasi tersebut antara lain menuntut penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri dan Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian yang dibuat baru-baru ini yang melanggar hak-hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. 
 

Tiada ulasan: