Jumaat, 11 Mac 2016

Shafie sindir Ku Nan, "Siapa yang kebudak-budakan?"

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar dan Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ekoran kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menggelarkan dirinya bersikap kebudak-budakan, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal tampil membalas kembali kenyataan Setiausaha Agung Umno itu secara sinis.
 
"Siapa yang budak-budak? Biarkan mereka bercakap, itu hak mereka untuk bercakap," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat, petang tadi.
 
Terdahulu Tengku Adnan atau Ku Nan memberitahu tidak mahu melayan pihak yang menimbulkan masalah kepada parti dan menyifatkan mereka sebagai kebudak-budakan, merujuk kepada tindakan Shafie dan mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyokong Deklarasi Rakyat bagi menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib razak selaku Perdana Menteri. 
 
Ku Nan berkata demikian awal hari ini ketika ditanya sama ada Umno akan mengambil sebarang tindakan terhadap kedua-dua pemimpin itu kerana mengkritik kepimpinan Najib.
 
Umno sebelum ini menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Presiden pada 26 Februari lalu, ekoran tidak membantu tugas Presiden parti. 
 
Shafie tidak hadir ke majlis menandatangani Deklarasi Rakyat, Jumaat lalu. Bagaimanapaun Muhyiddin dan Mukhriz hadir menyatakan sokongan dan menandatangani deklarasi diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
 
Muhyiddin dan Mukhriz kemudiannya dikritik oleh pimpinan parti sehingga timbul gesaan supaya kedua-dua mereka dikenakan tindakan.
 
Sementara itu, Shafie enggan mengulas lanjut mengenai usaha pembangkang yang mahukan sebahagian teras perjuangan di dalam Deklarasi Rakyat itu sebagai usaha membebaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Untuk rekod, pada Isnin lalu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pembebasan Anwar adalah teras perjuangan Deklarasi Rakyat yang kini didokong oleh pembangkang, Dr Mahathir Mohamad dan penyokongnya.
 
Azizah berkata penglibatan Mahathir dalam deklarasi itu menunjukkan beliau bersetuju dengan agenda PH yang mahu institusi tertentu yang 'memangsakan' Anwar dirombak.
 
 

Tiada ulasan: