Ahad, 6 Mac 2016

S’gor ungguli kes denggi – Hilmi

FREE MALAYSIA TODAY


Peningkatan kes denggi terutama di Selangor terus membimbangkan Kementerian Kesihatan, kata timbalan menterinya.


hilmi-yahaya_denggi_600


BALIK PULAU: Kes denggi kembali menunjukkan peningkatan dengan sekurang-kurang 100 kes dicatatkan setiap minggu di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata pihaknya kini giat melaksanakan aktiviti membasmi nyamuk Aedes bagi memastikan bilangan kes demam denggi dikurangkan.

Katanya, sebanyak 2,885 kes denggi dicatatkan pada minggu lalu, iaitu peningkatan sebanyak 100 kes berbanding minggu sebelumnya iaitu 2,785 kes.

“Angka ini amat membimbangkan kita… Selangor masih mengungguli carta teratas sebagai negeri terbanyak mencatatkan kes demam denggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 789 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kumbar 2, di sini, hari ini.

Dr Hilmi berkata, faktor yang menyumbang kepada kedudukan Selangor itu, kemungkinan disebabkan faktor kepadatan penduduk di negeri berkenaan lebih tinggi berbanding negeri lain, sekali gus menyebabkan usaha pembasmian nyamuk Aedes kurang berkesan.

“Di kawasan padat penduduk, memang sukar kawal sistem perparitan, sampah sarap, malah kebersihan kawasan persekitaran,” katanya.

Justeru, Dr Hilmi menyeru orang ramai agar menjaga kebersihan rumah masing-masing selain perlu mengadakan gotong-royong pada setiap minggu untuk membasmi tempat pembiakan Aedes.

“Penduduk setempat juga perlu lebih rajin membersihkan kawasan persekitaran mereka dan jangan hanya tunggu petugas daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengadakan gotong-royong,” katanya
– BERNAMA

Tiada ulasan: