Selasa, 15 Mac 2016

Setiausaha Agung akui PERKASA kini terbelah dua

Anne Muhammad  




Pertubuhan pendesak Melayu, PERKASA hari ini mengakui bahawa NGO itu kini terbelah dua berikutan sebilangan ahlinya menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak manakala selebihnya pula memihak kepada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali yang membuat pendedahan itu berkata, pepecahan itu terjadi selepas Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali menghadiri Deklarasi Rakyat bagi ‘Selamatkan Malaysia’ pada awal bulan lalu.

“Ahli Umno dalam PERKASA sudah ada kem, sekarang sudah ada ahli Umno keluar PERKASA melalui sidang media dengan aksi memotong kad keahlian PERKASA bagi tunjukkan tidak puas hati kepada presiden dan kepimpinan PERKASA.

“Mereka dakwa PERKASA lari dari perjuangan asal.

“Ada juga yang menyokong Mahathir dan mereka mahu potong kad keahlian Umno melalui sidang media,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PERKASA di Kuala Lumpur hari ini.

Minggu lalu, seramai sembilan ahli PERKASA dari Pengkalan Chepa dan 27 dari cawangan Kapar bertindak mematahkan kad keahlian NGO itu.

Manakala sebilangan ahli PERKASA bahagian Gombak dan Kuala Langat pula mengancam mahu mematahkan kad keahlian Umno.

Sebelum ini, Ibrahim mengakui beliau hadir ke majlis pemeteraian Deklarasi Rakyat tetapi tidak menandatanganinya kerana "namanya dan PERKASA tidak boleh dipisahkan".

Kata Ibrahim, walaupun mereka yang menandatanganinya atas kapasiti individu "tapi maklumlah zaman Internet, pihak-pihak akan membuat pentafsiran masing-masing".

Pada majlis itu, Mahathir dan pembangkang memeterai deklarasi yang menuntut penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Antara yang menandatanganinya termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.


Tiada ulasan: