Ahad, 20 Mac 2016

Seorang lagi maut di Gunung Datuk hari ini

Seorang lagi maut di Gunung Datuk hari ini


REMBAU - Seorang lagi lelaki berusia 26 tahun maut ketika melakukan aktiviti mendaki Gunung Datuk hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.00 petang itu, mangsa, Muhammad Hannan Kamarzaman, 26, beralamat di Selandar, Jasin, disahkan maut oleh pasukan paramedik kira-kira jam 5.42 petang, di Tapak Kaki Gunung Datuk.

Difahamkan mangsa bersama lebih 20 lagi rakannya yang melakukan aktiviti yang dianjurkan syarikatnya dari Shah Alam.


Pegawai Pasukan Unit Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Masjid Tanah, Leftenen Muda, Muhammad Aliff Mohd Yusof berkata, pihaknya kebetulan menjalankan program di laluan Gunung Datuk dan dimaklumkan rakan mangsa berhubung kejadian itu.

"Mangsa telah rebah dan mulutnya mula mengeluarkan cecair ketika diberikan rawatan awal.

"Kami seramai 15 anggota bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 100 meter dari tapak kaki Gunung Datuk dan menemui mangsa dalam keadaan lemah namun masih mempunyai denyutan nadi.

"Kami membawa mangsa ke tapak kaki dan cuba memberikan bantuan CPR lebih 10 kali.  Namun mangsa tidak dapat diselamatkan," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pendaki maut ketika dibawa turun dari Gunung Datuk]

Tengah hari tadi, seorang lelaki juga disahkan maut oleh paramedik ketika membawa mangsa turun dari gunung sama.

Mangsa, Chung Kwok Kwong, 54, beralamat di Petaling Jaya, Selangor disahkan maut di ketinggian kira-kira 200 meter dari arah laut pada jam 1.05 petang dipercayai kena serangan jantung.


Tiada ulasan: