Ahad, 13 Mac 2016

Selangor tak terjejas dengan blok politik ketiga, kata Azmin

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SEPANG: Kedudukan kerajaan PKR Selangor tidak tergugat walaupun PAS dijangka menubuhkan pakatan baru pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada minggu depan.
 
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa , kerajaan negeri masih kukuh sejak gabungan tiga parti iaitu terdiri daripada PAS, DAP dan PKR menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam pilihan raya umum sebelum ini.
 
Beliau sebaliknya berkata, terpulang kepada PAS untuk membentuk sebarang gabungan atau pakatan kerana soal itu adalah hak mereka dan juga terserah kepada rakyat sama ada untuk menerima atau menolaknya.
 
"Saya tidak tahu apa cadangan PAS. Namun dalam sistem demokrasi, mereka berhak berbuat demikian.
 
"Tugas kerajaan negeri sekarang adalah soal pembangunan dan bukannya politik. Politik dan pilihan raya berlangsung lima tahun sekali dan bukannya hari-hari," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan di Jeti Penambang bersempena Program Retreat Exco Selangor 2016 semalam.
 
Dalam perkembangan yang sama, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik pengumuman PAS menubuhkan pakatan baru pembangkang untuk menghadapi PRU-14.
 
Menurut Ahmad Zahid, tindakan itu secara tidak langsung membuktikan bahawa akhirnya PAS sedar parti itu selama ini hanya menjadi 'kuda tunggangan DAP'.
 
Pada masa yang sama, Ahmad Zahid berkata, langkah PAS itu pastinya akan mewarnai arena politik negara selain rakyat mempunyai lebih banyak pilihan.
 
"PAS umumkan akan menubuhkan kesepakatan baru, saya peribadi saya amat mengalu-alukan kesepakatan baru ini.
 
"Mudah-mudahan PAS menyedari bahawa kesepakatan mereka dalam pembangkang selama ini telah menimbulkan kesukaran dengan kawan-kawan yang bersekongkol terutama DAP yang telah menjadikan PAS dan PKR sebagai tunggangan dan akhirnya PAS sedar dan tidak mahu lagi jadi tunggangan.
 
"Walaupun ia tidak ada hubung kait dengan UMNO, lebih banyak pembangkang tubuh pakatan baru lebih baik supaya politik kita lebih demokratik, matang dan rakyat boleh memilih.
 
"Saya juga harap rakyat juga sedar bahawa DAP tidak lebih daripada anai-anai yang boleh meruntuhkan sistem demokrasi negara," katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat Khas Bersama Kepimpinan Umno Cawangan Empat Peringkat Bagan Datoh semalam.
 
PAS beberapa hari lalu mengumumkan akan membentuk kerjasama baru dengan sebuah parti politik berbilang kaum bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
 
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pakatan itu akan diumumkan pada 16 Mac ini sebagai blok politik ketiga.
 
 

Tiada ulasan: