Sabtu, 19 Mac 2016

Sekolah seperti biasa, cuma tiada aktiviti luar

 Sekolah seperti biasa, cuma tiada aktiviti luar
Mahadzir (tengah) bersalam dengan warga SMK Raja Sakti, hari ini.
 
 
KOTA BHARU - Sesi persekolahan di Kelantan, Terengganu dan Kedah akan dibuka esok biarpun cuaca panas melanda negara ini, malah Kementerian Pendidikan menafikan viral tidak benar mengenainya.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, persekolahan esok diteruskan berdasarkan kerjasama jawatankuasa peringkat kebangsaan melibatkan beberapa kementerian berkaitan bagi menentukan suhu cuaca.

"Sebenarnya untuk cuaca panas ini, ia sama seperti kes jerebu, yang mana kementerian ada sebuah jawatankuasa peringkat kebangsaan termasuk Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang memberikan maklum balas mengenai cuaca.

"Kita sebagai pengguna menunggu makluman dari kementerian-kementerian ini termasuk Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, sebab itu untuk tutup dan buka sekolah, kita perlu dapatkan keputusan peringkat nasional mengikut indeks bacaan cuaca," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti, di sini.

Mahadzir berkata, pihaknya juga turut mengeluarkan pekeliling supaya aktiviti di luar darjah dihentikan akibat cuaca panas sehingga dimaklumkan semula.

"Untuk sementara ini, semua aktiviti luar darjah patut diberhentikan atau tidak diadakan dan arahan ini sudah dikeluarkan sejak minggu lalu.

"Sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa dan saya turut menasihatkan supaya hentikan viral cuti sekolah di Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana ia boleh menyebabkan ibu bapa keliru untuk menghantar anak-anak ke asrama hari ini.

"Viral kononnya esok sekolah ditutup akibat cuaca panas ini melibatkan masyarakat dan saya kasihan melihat ibu bapa yang keliru dengan situasi ini," katanya.

Ditanya mengenai penutupan sekolah di Kedah dan Perlis yang dikatakan mengalami cuaca panas melampau, beliau berkata, kementerian belum membuat keputusan demikian.

"Saya ingat, keputusan tak lagi lah" katanya.


Tiada ulasan: