Ahad, 13 Mac 2016

'Saya bukan pengkhianat', kata Muhyiddin


Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
 
 

SELANG seminggu selepas jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno digantung, TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN muncul dalam majlis pelancaran Deklarasi Rakyat, 4 Mac lalu.

Sokongan beliau terhadap deklarasi menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur bukanlah mengejutkan kerana seperti diketahui, Muhyiddin antara pemimpin paling lantang mengkritik pentadbiran Najib sehingga digugurkan dari Kabinet.

Namun, kehadiran Muhyiddin dalam Deklarasi Rakyat menerima kecaman pemimpin Umno kerana duduk semeja dengan pemimpin pembangkang. Ikuti wawancara penuh Muhyiddin bersama wartawan Sinar Harian, baru-baru ini.

Sebagai orang nombor dua dalam negara dan nombor dua dalam parti, boleh Tan Sri kongsikan perasaan apabila Majlis Tertinggi (MT) menggantung jawatan Tan Sri?

Semua jawatan yang saya sandang selama ini telah pun digugurkan. Pertamanya digugurkan sebagai timbalan perdana menteri. Walaupun dikatakan hak prerogatif perdana menteri, tetapi saya tidak fikir ia prerogatif yang mutlak.

Oleh kerana saya menjawat jawatan timbalan presiden waktu itu, sewajarnya saya menjalankan tugas sebagai timbalan perdana menteri bagi membantu presiden, dengan kedudukan itu mempermudah urusan yang saya buat dan mempunyai kuasa diperuntukkan sebagai timbalan perdana menteri.

Apa pun semua ini telah berlalu, saya tidak mahu mengulang apa yang sebutkan dahulu. Namun selepas itu, saya teruskan tugas saya sebagai Timbalan Presiden Umno.

Saya dari semua hal tidak dapat berfungsi secara berkesan, sebagaimana yang saya lakukan sebelum itu iaitu melaksanakan tanggungjawab sebagaimana yang telah dibuat, seperti menguruskan urusan parti sebagai pengerusi jawatankuasa pengurusan Umno.

Di mana setiap kali mesyuarat MT, saya akan memanggil mesyuarat membincangkan urusan parti. Pendek kata, semua urusan termasuklah urusan pilihan raya, ataupun masalah-masalah dalam parti atau peringkat negeri atau bahagian, maka saya bertanggungjawab sebagai pengerusi pengurusan menentukan bagaimana ia diselesaikan. Itu tidak dapat saya laksanakan lagi.

Demikian juga tugas saya sebagai Timbalan Pengerusi BN. Itu juga tidak dapat saya laksanakan, bukan kerana saya tidak mahu, tetapi tugas itu entah bagaimana tidak dibenarkan untuk saya laksanakan.

Jawatankuasa tertinggi mesyuarat BN, itu pun tidak boleh dibenarkan. Saya pengerusikan mesyuarat dan dihadiri bersama presiden komponen parti. Itu pun tidak boleh saya laksanakan, kerana saya tidak dibenarkan langsung memanggil mesyuarat.

Apa lagi hal-hal lain yang saya laksanakan sebagaimana disebut mengikut peruntukan dalam perlembagaan, membantu presiden dan mempengerusikan mesyuarat ketika ketiadaan presiden, kesemua ini tidak diberikan hak dan tanggungjawab itu kepada saya lagi.

Kadang kala saya pun bertanya, mengapa begitu? Apakah sebab saya dihukum, tidak menjawat jawatan timbalan perdana menteri, maka tugas saya dalam parti pun digantung juga secara berkesan dengan tidak dibenarkan saya menjalankan tugas.

Sehingga ada pihak yang menuduh, bahawa antara sebab saya digantung jawatan kerana saya tidak berkesan. Soalnya, saya tidak berkesan kerana saya tidak dibenarkan menjalankan tugas, bukan saya tidak boleh buat.

Dalam tempoh saya menjawat jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno selama enam tahun, tidak pernah berbangkit soal begitu. Saya orang yang amanah, diberikan tugas saya jalankan sebaiknya.

Saya menjadi lumpuh, dalam erti kata, saya tidak dapat menjalan tugas. Bukan saya tidak mahu, tapi sengaja disekat atau dihalang. Saya tidak dibenarkan ke mana-mana, sehingga ahli parti takut untuk menjemput saya. Padahal saya timbalan presiden.

Adakah sebab saya tergugur sebagai timbalan perdana menteri, maka segala hak lain sebagai ahli parti dan pemimpin Umno pun tidak boleh dilaksanakan?

Itu perkara yang cukup saya rasa kesal sehingga akhirnya, mereka mengambil tindakan kononnya saya tidak menjalankan tugas, tidak membantu presiden apalagi dengan kenyataan terbuka di platform parti.
Maka mereka bertindak menghukum saya dengan menggantung jawatan sebagai timbalan presiden parti.

Adakah parti memberikan surat rasmi kepada Tan Sri terhadap sekatan dikenakan?

Tiada, mereka katakan tidak boleh sahaja. Saya mahu memanggil mesyuarat, saya meminta setiausaha agung tentukan masa, dia mengatakan saya tidak boleh pengerusikan mesyuarat.  Sekiranya perdana menteri kata, maka saya tidak wajar duduk dalam jemaah parti, itu hak dia. Tetapi saya dipilih dalam perhimpunan agung, menjawat jawatan timbalan presiden. Sepatutnya saya ada hak menjalankan tugas itu.

Sekatan terhadap saya luar biasa, saya tidak pernah lihat dalam sejarah Umno atau mana-mana parti tindakan amat keras. Saya tidak mahu katakan zalim, tetapi keras terhadap saya.

Bila dihalang melaksanakan tugas sedemikian rupa, apakah Tan Sri meminta penjelasan kepada pihak parti?

Ya, saya pernah tanya dalam MT, kenapa saya tidak dibenarkan mempengerusikan mesyuarat pengurusan. Setiausaha agung menjawab, tiada lagi itu. Kita dah tubuhkan Majlis Presiden. MT pun bertanya, apa itu Majlis Presiden, sedangkan perkara itu tidak dibincang dalam MT.

Memang tiada pun peruntukan dalam perlembagaan parti tentang Majlis Presiden. Saya pun tidak tahu. Sebab itu, saya malas hendak bertanya lagi. Bermakna memang mereka lakukan itu dengan sengaja bagi menghalang daripada saya menjalankan tugas parti.

Memang saya tahu tiada peruntukan Majlis Presiden itu di mana-mana. Ini sebagai dalih untuk menghalang. Bagi saya, ini semua tidak betul dari sudut aturan parti.

Tan Sri akan rujuk kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS). Bagaimana dengan perkembangan itu?

Saya telah umumkan sewaktu saya mengadakan sidang akhbar sebelum ini bahawa saya nak mendapatkan penjelasan. Ini bukan mengheret Umno ke mahkamah seperti disebut oleh sesetengah pihak, kerana saya memahami ada peruntukan dalam perlembagaan yang tidak membolehkan berbuat demikian.

Tetapi kerana RoS itu adalah pihak yang mengetahui urusan perjalanan sesebuah pertubuhan, untuk mendapat penjelasan daripada RoS apakah tindakan pihak MT untuk menggantung saya sebagai timbalan presiden itu berperlembagaan mengikut proses dan peraturan yang ditetapkan dalam perlembagaan parti.

Saya bertanya begitu kerana saya syak bahawa tindakan-tindakan yang mereka lakukan ni agak tergopoh-gapah, mungkin tidak mengambil kira nasihat yang diberikan penasihat undang-undang Umno, di mana hal-hal berkaitan soal disiplin parti kalau pun ada atau pun disyaki mestilah dirujuk kepada lembaga disiplin.

Lembaga disiplin itu ialah badan yang boleh dianggap bebas kerana dipimpin mereka yang dipilih dalam kalangan bekas-bekas ahli parti, bekas-bekas pemegang jawatan yang berpengalaman, tetapi tiada dalam MT. Jadi mereka tiada kepentingan peribadi dari segi jawatan.

Sepatutnya proses pertimbangan yang dibuat terhadap mana-mana ahli itu dilakukan secara adil dan saksama. Tetapi dalam kes saya itu tidak berlaku, di mana saya tidak diberikan surat tunjuk sebab, bagi tempoh. Katakan dalam dua minggu beri jawapan, lepas itu akan dipanggil oleh pengurusan dalam kes ini, mungkin lembaga disiplin, lepas tu barulah mereka membuat keputusan dan ada peraturan yang tertentu, apa lagi jawatan sebagai Timbalan Presiden Umno.

Ini bukan jawatan yang rendah, jawatan yang kedua tertinggi dalam parti, jadi sepatutnya kedudukan saya itu tidak diambil mudah. Malangnya, itu tidak berlaku.

Baru-baru ini, Deklarasi Rakyat dilancarkan, diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri antara pemimpin yang menandatanganinya. Boleh jelaskan sebab penyertaan Tan Sri dalam Deklarasi Rakyat?

Deklarasi Rakyat ini hasil perbincangan yang agak mendalam di antara Tun Mahathir, saya, dan beberapa rakan seperjuangan yang sama, tidak termasuk pihak lain di peringkat awal.


Tiada ulasan: