Rabu, 30 Mac 2016

Sarawak: PBB takut dikaitkan dengan Najib tapi tetap sokong pimpinan UMNO

ccj_sarawak

Roketkini.com


KUCHING: Tindakan Ketua Penerangan Parti Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB)-Barisan Nasional, Peter Minos, yang mencabar DAP supaya tidak mengaitkan Perdana Menteri dengan Sarawak jelas membuktikan BN Sarawak bimbang dengan kemarahan rakyat Bumi Kenyalang terhadap Najib.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata jika BN Sarawak enggan dikaitkan dengan Najib, lebih baik ia keluar dari perikatan BN.

“Jika tidak, mereka akan terus dilihat sebagai menyokong segala dasar zalim dan tidak adil kerajaan UMNO-BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu menjawab cabaran Minos beberapa hari lalu yang mahu membuat tawaran, iaitu DAP tidak mengaitkan Najib dengan BN Sarawak sebagai pertukaran untuk BN Sarawak tidak mengaitkan DAP Sarawak dengan Lim Guan Eng yang kononnya melakukan rasuah berkaitan isu pembelian rumah.

Minos seperti pemimpin serta cybertooper BN menyamakan fitnah rasuah terhadap isu rumah Ketua Menteri Pulau Pinang dengan skandal mega Najib dalam isu derma RM2.6 bilion dan 1MDB yang kini menjadi perhatian dunia serta memalukan Malaysia.

Chieng Jen menganggap tindakan Peter Minos menyamakan isu rumah Guan Eng dengan skandal berbilion ringgit Najib sebagai mengarut.

Tegasnya, DAP Sarawak tidak gentar dikaitkan dengan Guan Eng kerana dakwaan rasuah yang dilontarkan seorang wakil rakyat UMNO sebelum ini langsung tiada asas kukuh, malah pemfitnah itu pula tidak berani mengulangi tuduhannya di luar Parlimen.

“Faktanya, individu pemilik rumah asal yang dijual kepada Ketua Menteri Pulau Pinang tidak mempunyai sebarang kaitan atau kepentingan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” jelasnya.

Beliau sebaliknya mencabar Peter Minos supaya menjelaskan pendiriannya yang bercanggah dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, yang jelas memberikan sokongan terbuka kepada Najib.

“Bagaimana mungkin beliau (Peter Minos) mendakwa BN Sarawak tidak mempunyai kaitan dengan Najib sekiranya Adenan telah banyak kali dalam banyak majlis berikrar menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Najib, dan tanpa sokongan BN Sarawak, Najib tidak akan kekal sebagai Perdana Menteri?” soalnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: