Jumaat, 25 Mac 2016

Sarawak: BN tukar calon sedia ada, tidak yakin menang DUN Layar

geraldrogeranding

Oleh Hafiz Zainuddin


BETONG: Pengunduran Adun Barisan Nasional bagi kawasan DUN Layar, Tan Sri Alfred Jabu, untuk digantikan dengan anaknya Gerald Rentap, adalah amalan politik keluarga yang menyebabkan BN semakin tidak popular dan hilang sokongan pengundi setempat.

Berikutan gagal mendapat sokongan penuh rakyat setempat, BN menggunakan taktik lama dengan kempen menakut-nakutkan dan ugutan akan menarik semula projek dan subsidi jika tidak bersetuju dan menyokong mereka, kata calon berpotensi DAP untuk DUN Layar, Gerald Roger Anding.

Jelas beliau, taktik jahat BN itu berbeza dengan perkhidmatan yang diberikan DAP melalui banyak program dan aktiviti seperti projek air graviti, kem-kem kesihatan percuma, kelas membaca dan sebagainya.

“Pendekatan DAP ini memberikan kesan yang positif. Kebanyakan golongan muda sudah tidak percayakan BN tetapi golongan berusia masih yakin dengan BN. Tetapi sejak DAP aktif di Layar, golongan berusia juga telah ramai menunjukkan sokongan kepada kita,” katanya kepada Roketkini.com.

DUN Layar diwakili oleh Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak selama sembilan penggal, namun masih banyak masalah dan janji tidak ditunaikan.

Menurut Gerald, pengumuman Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, yang mengesahkan kerusi Layar akan diisi oleh anak Jabu, menguatkan lagi spekulasi bahawa kedudukan BN di Layar semakin tidak popular.

“Terlalu banyak janji Jabu dalam pilihanraya lalu yang belum ditunaikan seperti janji membuat jalan, bekalan air dan elektrik untuk rumah-rumah panjang di kawasan hulu,” katanya.

Pengerusi DAP Betong itu mendedahkan, pembangunan kemudahan infrastruktur yang sangat perlahan ini menyebabkan penduduk Layar bosan dan semakin curiga dengan setiap janji yang ditaburkan BN.

“Selain projek infrastruktur, satu contoh yang saya boleh beri seperti projek stesen pertanian Layar yang sepatutnya membantu golongan petani tempatan.

“Malangnya, kita tidak nampak aktiviti yang benar-benar dilaksanakan dan banyak stesen pertanian terutamanya di bahagian hulu telah ditutup,” ujar beliau. – Roketkini.com


Tiada ulasan: