Sabtu, 5 Mac 2016

Sarawak: BN mahu halang ejen PACA melalui permit kerja

chong chieng jen
Roketkini.com


KUCHING,  Cadangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak agar sukarelawan Semenanjung Malaysia dikenakan permit khas untuk menjadi ejen pengundian dan pengiraan undi (PACA) untuk pilihanraya negeri akan datang adalah berniat jahat.

PBB yang merupakan komponen Barisan Nasional pimpinan Najib Razak mengemukakan cadangan itu kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam satu perjumpaan baru-baru ini.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata ia merupakan tindakan terdesak dan tidak adil, sama seperti amalan Najib yang mengamalkan politik menekan pihak-pihak yang menegurnya.

“Permintaan sebegini mengarut. Pertamanya, PACA adalah sukarelawan yang memang tidak diberikan gaji. Di dalam peruntukan undang-undang, mereka tidak memerlukan permit kerja.

“Keduanya, kehadiran mereka untuk kelangsungan demokrasi di Sarawak dan sepatutnya digalakkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Chieng Jen, beberapa pusat pengundian luar bandar dalam pilihan raya sebelum ini mencatatkan peratusan keluar mengundi yang tinggi melebihi 90 peratus dan jumlah tersebut amat mencurigakan berbanding peratusan keluar mengundi di bandar yang hanya 70 peratus.

“Kami juga mengesyaki ejen PACA bagi pihak pembangkang telah, sama ada di rasuah ataupun diperdaya dan ditakut-takutkan.  Dengan adanya ejen PACA dari Semenanjung di kawasan-kawasan ini, BN takkan mudah untuk menipu.

“Adakah PBB berasa takut kepada ejen PACA dari Semenanjung yang ditempatkan di kawasan luar bandar ini kerana sukar untuk mereka memanipulasi dan menipu sistem? 

“Adakah ini sebabnya mereka membuat permohonan kepada SPR supaya PACA dari Semenanjung dikenakan permit kerja?” soal beliau. – Roketkini.com

Tiada ulasan: