Isnin, 14 Mac 2016

Sarawak akan adakan penerbangan terus Hong Kong-Sibu - Adenan Satem

BERNAMA


Sarawak akan adakan penerbangan terus Hong Kong-Sibu - Adenan Satem
Penerbangan terus dua kali seminggu Hong Kong-Kuching-Hong Kong pula dijangka bermula April ini. - Gambar fail
 

SIBU: Kementerian Pelancongan Sarawak akan berusaha mengadakan penerbangan terus dari Hong Kong ke Sibu tidak lama lagi untuk meningkatkan jumlah pelancong ke bahagian tengah negeri ini.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata usaha berkenaan dapat direalisasikan setelah memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Hong Kong Airlines, awal tahun ini.

Katanya, penerbangan terus dua kali seminggu Hong Kong-Kuching-Hong Kong pula dijangka bermula April ini.

"Ini adalah sejajar dengan polisi langit terbuka Sarawak yang mempelawa mana-mana syarikat penerbangan mengadakan penerbangan terus ke negeri ini," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pada pelancaran Tahun Melawat Sibu 2017 di Dataran Sibu di sini, malam tadi.

Menurutnya, Sibu merupakan pintu masuk utama ke kawasan tengah Sarawak yang mempunyai kawasan pedalaman luas dan pelbagai tarikan pelancongan.

"Sibu mempunyai kawasan pedalaman luas merangkumi bahagian Kapit, Sarikei dan Mukah yang merupakan sebahagian daripada potensi pelancongan yang belum diterokai dan dibangunkan sepenuhnya.
"Kawasan tengah Sarawak ini kaya dengan kebudayaan, alam semulajadi, pengembaraan, warisan dan sejarah," katanya.

Adenan turut mengumumkan peruntukan RM200,000 kepada Jawatankuasa Tahun Melawat Sibu 2017.

Dalam pada itu, Adnan berkata sektor pelancongan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negeri dengan perolehan kira-kira RM9 bilion melalui kemasukan 4.5 juta pelancong pada 2015.

Katanya, jumlah tersebut adalah bersamaan dengan 13 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar Sarawak tahun lepas.
"Selain menyumbang kepada KDNK negeri ini, sektor pelancongan juga menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak," katanya.

Tiada ulasan: