Khamis, 24 Mac 2016

Rayani Air Jamin Tiada Lagi Pas Penerbangan Tulisan Tangan


Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 





PETALING JAYA: Rayani Air memberi jaminan bahawa syarikat penerbangan itu tidak lagi mengeluarkan pas penerbangan tulisan tangan, berkuat kuasa serta-merta.

Pengurus Besar Perhubungan Awamnya, Anisah Azharuddin berkata, pihaknya telah menemui jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah itu.

"Syarikat (Rayani Air) tidak akan lagi mengeluarkan pas penerbangan tulisan tangan secara manual berkuat kuasa serta-merta.

"Oleh itu, para penumpang hanya akan menerima pas penerbangan bercetak bagi penerbangan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada petang Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pas penerbangan tulisan tangan yang dikeluarkan Rayani Air kepada penumpang, sehingga menjadi viral di media sosial.

Portal berita, mStar Online sebelum ini melaporkan insiden berkenaan berpunca daripada masalah sistem berkaitan dengan perubahan tarikh selepas penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching yang dijadualkan pada 18 Mac lalu ditunda kepada 19 Mac.

Penggunaan pas penerbangan tulisan tangan (gambar bawah) disebabkan terdapat penumpang yang mendaftar masuk selepas tengah malam iaitu 19 Mac dan sistem tidak dapat mencetak pas berkenaan kerana di dalam sistem, penerbangan itu dijadualkan pada 18 Mac.




Mengulas lanjut, Anisah berkata, pas penerbangan dikeluarkan secara manual bagi memadankan bilangan penumpang bagi penerbangan itu, RN154.

"Pendekatan itu dilakukan bagi menentukan jumlah sebenar penumpang memandangkan terdapat penumpang yang membatalkan penerbangan mereka dengan RN154.

"Kesemua 127 penumpang bagi penerbangan RN154 memasuki pintu pelepasan di KLIA2 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2) dengan kelulusan," katanya.

Tambah Anisah, pesawat berkenaan yang sepatutnya dijadualkan berlepas pada pukul 11.30 malam 18 Mac ditunda kepada pukul 5 pagi 19 Mac dan selamat mendarat di Kuching pada pukul 6.45 pagi.

Mengenai punca kelewatan, Anisah berkata, berlaku kebocoran hidraulik pada pesawat berkenaan yang perlu diperbaiki demi keselamatan penumpang.

"Kami memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas disebabkan kelewatan dan kekeliruan yang berlaku," katanya.

Tiada ulasan: