Rabu, 23 Mac 2016

“Ramai orang kelainan upaya mati sebab GST”

 
Kebanyakkan OKU tidak mempunyai pendapatan tetap untuk membeli keperluan serta ubat yang dikenakan GST.


OKU


KUALA LUMPUR: Seorang peserta demontrasi membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mendakwa ramai orang kelainan upaya (OKU) meninggal dunia kesan pelaksanaan cukai itu sejak tahun lalu.

Peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Reyna, juga seorang OKU mendakwa, OKU terbabit meninggal dunia akibat tidak mampu untuk membeli barang yang dikenakan GST.

“Ramai OKU meninggal dunia sebab tak mampu nak beli barang yang dikenakan GST, sebab ada GST kami nak beli pad (tuala wanita), ubat semua mahal,” katanya yang kecewa dengan keadaan itu.

Presiden Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia (ILTC), G Francis Siva berkata, ramai warga OKU tidak mempunyai pendapatan yang tetap serta tidak berkemampuan untuk memberi barang yang dikenakan GST.

“Tahun lepas dah laksana GST, sekarang nampaknya ia memberi tekanan yang kuat pada kami kerana ada yang tidak mampu untuk membeli makanan, lampin pakai buang, kantung air kencing.

“Jadi kita minta supaya kerajaan kecualikan GST kepada OKU di Malaysia. Jika tidak OKU akan menderita,” katanya di luar Lobi Parlimen.

Lebih 30 OKU hadir bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendesak kerajaan mengecualikan GST kepada golongan itu.

Sementara itu, menurut, Presiden Persatuan Usahawan OKU Malaysia (PUIM) Fafifirouk Halyas, kerajaan ‘menipu’ apabila gagal menunaikan janji sebelum ini untuk tidak mengenakan GST kepada OKU.

“Sebelum ini Perdana Menteri cakap nak kecualikan GST kepada kami tetapi, sehingga kini ia tidak dilaksanakan dan kami turut dikenakan GST,”katanya.

Kumpulan itu juga turut menyerahan memorandum tersebut kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Tiada ulasan: