Selasa, 15 Mac 2016

Rakyat Sarawak perlu beri peluang kepada PAS, kata Iskandar

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: PAS meminta rakyat Sarawak memberi peluang kepada parti itu dengan memilih wakil rakyatnya dalam Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN11) akan datang.
 
Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kesediaan PAS untuk bertanding 11 kerusi DUN pada PRN kali ini sekaligus menafikan tuduhan bahawa parti itu hanya memperjuangkan nasib masyarakat Melayu Islam.   
 
"Walaupun sebelum memenangi pilihan raya, PAS Sarawak telah menjalankan usaha-usaha untuk membantu rakyat di bawah program-program seperti projek-projek kemudahan awam dan ekonomi untuk rakyat.
 
"Di atas kesungguhan ini, rakyat Sarawak wajar memberi peluang kepada PAS untuk mewakili mereka pada pilihan raya negeri kali ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Iskandar malah menambah, wakil rakyat parti itu di negeri lain juga berkhidmat tanpa mengira latar belakang sesuatu kaum dengan memperjuangkan isu-isu yang disuarakan rata-rata masyarakat berbilang kaum. 
 
"Wakil-wakil rakyat PAS cukup prihatin kepada isu-isu masyarakat bukan Islam seperti bahasa ibunda, pendidikan, perumahan, tanah, kebajikan dan tempat ibadat.
 
"Oleh yang demikian tuduhan bahawa PAS hanya memperjuangkan nasib masyarakat Islam adalah tidak benar," ujarnya. 
 
ADUN Chempaka itu turut menjelaskan bahawa hasrat PAS untuk bertanding pada PRN bukanlah untuk membentuk kerajaan, namun bagi membawa suara rakyat negeri berkenaan. 
 
"PAS serius di dalam  usaha untuk menjadi 'check and balance' (semak dan imbang) di Sarawak.
 
"PAS akan bersama-sama memperjuangkan kepentingan-kepentingan anak negeri agar Sarawak dapat mencapai kemajuan setaraf dengan negeri-negeri termaju di Malaysia," katanya.
 
Iskandar sebelum ini menyangkal dakwaan bahawa parti itu hanya boleh bertanding di kawasan majoriti Melayu sahaja.
 
Tegasnya, PRN akan datang adalah peluang bagi PAS itu membuktikan bahawa ianya bukan hanya parti orang Islam.
 
Sebelas kerusi DUN yang akan ditandingi PAS pada PRN nanti ialah Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Lambir, Pujut dan kerusi baharu, Samalaju.
 
Majlis Syura PAS akan bermesyuarat pada 20 Mac ini untuk menentukan senarai akhir calon yang akan bertanding pada PRN itu. 


Tiada ulasan: