Jumaat, 18 Mac 2016

Raih RM1,000 sehari hasil jual air kelapa

BERNAMA




Seorang peniaga air kelapa muda di Baling mampu memperoleh pendapatan RM1,000 sehari sepanjang tempoh cuaca panas ini.

Ibrahim Ismail, 45, yang telah menjual air kelapa sejak 10 tahun lalu berkata permintaan terhadap air kelapa meningkat setiap hari termasuk air kelapa pandan.

"Kalau sebelum ini saya boleh jual sebanyak 100 biji sehari, tetapi disebabkan cuaca kering dan panas sekarang, saya dapat jual 300 biji sehari dengan harga sebiji RM3.50 hingga RM4," katanya ketika ditemui Bernama.

Ibrahim yang menetap di Taman Kota Jaya berkata beliau memperoleh bekalan kelapa dari Perak, yang dihantar dua minggu sekali.

"Setakat ini saya tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan berikutan permintaan air kelapa yang meningkat kerana kelapa yang dihantar melebihi 2,000 biji seminggu berbanding sebelum ini sebanyak 1,000 biji," katanya.

Ibrahim yang berniaga bersama isterinya Mahani Abdullah, 52, dan anaknya Normira Sharmiza, 23, turut menghasilkan jeli kelapa untuk dipasarkan di sekitar Baling.

Albert Lim Aik Cheng, 50, yang merupakan antara pelanggan tetap Ibrahim memberitahu beliau turut terkesan dengan fenomena panas ketika ini, dan memberitahu air kelapa menjadi pilihannya untuk minum empat kali seminggu.

"Lagi baik kalau minum air kelapa muda, kita tidak tambah air gula atau ais, untuk mendapatkan kesegaran bagi memastikan kita sentiasa segar melakukan aktiviti harian," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: