Khamis, 10 Mac 2016

Program DLP: Murid Melayu di SK jadi mangsa kezaliman

 ARIF ATAN


Datuk Dr Zainal Abidin BorhanDatuk Dr Zainal Abidin BorhanPelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) yang majoritinya terdiri daripada anak-anak Melayu dibimbangi menjadi mangsa kezaliman Program Dwi Bahasa (DLP), kata Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan.

Beliau menyifatkan dasar menggunakan bahasa Inggeris dalam subjek berasaskan sains, matematik dan teknologi yang hanya dikuatkuasakan di SK itu sebagai satu bentuk kezaliman kebudayaan.

"Mengapa DLP hanya kena pada SK saja? SJK (Sekolah Jenis Kebangsaan) Cina dan Tamil diizinkan mengajar dalam bahasa mereka masing-masing.

"Ini kezaliman kepada anak-anak Melayu untuk belajar sains, matematik dan subjek berteraskan teknologi dalam bahasa Melayu," tegasnya pada sidang media bantah DLP di ibu pejabat Abim di Gombak hari ini.

Menurut bekas pensyarah Universiti Malaya (UM) itu, berlaku penafian keadilan terhadap sejumlah besar murid Melayu yang menuntut di SK kerana dihalang belajar dalam bahasa ibundanya.

"Murid-murid Melayu jadi mangsa kezaliman Kementerian Pendidikan. Ramai murid Melayu yang gagal. Kita boleh lihat selepas keputusan PT3 tahun lalu. Difahamkan kelayakan bagi kemasukan murid ke sekolah berasrama penuh terpaksa diturunkan ," ujarnya lagi.

Pesta rakyat

Dr Zainal Abidin Borhan dan AJK bertindak menuntut Pemansuhan DLPDr Zainal Abidin Borhan dan AJK bertindak menuntut Pemansuhan DLPMengulas himpunan membantah DLP yang dilihat sebagai langkah mahu menghidupkan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), beliau menganggap demonstrasi pada 26 Mac itu sebagai satu pesta rakyat.

"Sasterawan dan Seniman akan terlibat. Semua lapisan rakyat merentas parti politik dijemput hadir. Isu DLP ialah isu bahasa yang merupakan hal paling penting buat semua orang," tegasnya.

Terdahulu, Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain berkata, himpunan menuntut kerajaan memansuhkan DLP tersebut dijadual akan berkumpul di kompleks beli-belah Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

"Oleh sebab harapan kita sebelum ini untuk berunding dengan pihak berkuasa termasuk bertemu dengan Menteri Pendidikan tidak berjaya, rancangan kita untuk membuat himpunan bantahan diteruskan 26 Mac ini," jelasnya lagi.

Untuk rekod, sebanyak 300 sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara terlibat bagi peringkat pertama permulaan program rintis DLP bermula awal tahun ini.

Tiada ulasan: