Selasa, 1 Mac 2016

PRESMA janji tidak akan naikkan harga roti canai

 
Ahli PRESMA menyatakan kesanggupan untuk menyerap kos kenaikan harga tepung untuk tidak membebankan pengguna.


presma


PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) berjanji tidak akan menaikan harga roti canai dan makanan berunsurkan gandum sekiranya kerajaan menarik balik subsidi gandum 25 kilogram (kg).

Presiden PRESMA, Noorul Hassan Saul Hameed berkata, pengusaha restoran muslim akan menyerap kenaikan harga tepung kerana tidak mahu membebankan pengguna yang telahpun terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

“Dengan keadaan ekonomi semasa, rata-rata ahli yang kita hubungi telah menyatakan mereka akan serapkan kos harga tepung.

“Ini bagi memastikan kekerapan pelanggan itu ada datang ke kedai mereka. Menaikkan harga makanan bukan pilihan utama,” katanya kepada FMT.

PRESMA dianggotai 3,200 pengusaha restoran seluruh negara.

Noorul berkata PRESMA akan bertemu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Putrajaya, esok, bagi membincangkan kenaikan harga tepung.

“PRESMA dan persatuan lain telah dipanggil oleh KPDNKK bagi membincangkan isu kenaikan harga tepung ini.

“Kita tidak tahu lagi keputusan muktamad pihak kerajaan. Esok baru kita akan tahu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang pengilang tepung memaklumkan tepung gandum seberat 25 kg yang sebelum ini dibeli dengan harga RM33.75 akan naik menjadi RM42 selepas subsidi dihapuskan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih mengekalkan subsidi bagi tepung seberat 1 kg pada harga RM1.35.

Tiada ulasan: