Ahad, 20 Mac 2016

Polis mahu panggil Jamal selepas ugut bakar papan iklan Anwar

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Bukit Aman akan memanggil Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos berhubung tindakannya yang mengancam untuk membakar papan iklan membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ia bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan terhadap pemimpin NGO itu.
 
"Kita akan panggil beliau (Jamal) untuk direkodkan keterangan berhubung tindakannya itu," katanya dipetik BH.
 
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya termasuk bila Jamal akan dipanggil untuk memberi keterangan
 
Sebelum itu, Khalid menerusi akaun Twitternya memaklumkan polis mengesan beberapa papan iklan berbaur hasutan dan mengelirukan rakyat dengan merujuk Anwar sebagai tahanan politik.
 
Sehubungan itu, polis sudah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menurunkan semua papan iklan berkenaan.
 
"@PDRMsia kesan papan tanda dengan kata-kata menghasut dan mengelirukan rakyat yang merujuk DSAI sebagai 'Tahanan Politik'.
 
"@PDRMsia sedang ambil tindakan terhadap Dato Jamal Yunus kerana ancam bakar poster. Pada masa sama PBT telah diminta turunkan papan tanda yang menghasut," katanya.
 
Pada 16 Mac lalu, Jamal mengadakan protes 'Jom Bakar Papan Iklan Selamatkan Anwar' sebagai bantahan untuk mendesak kerajaan Selangor menurunkan papan tanda kempen pembebasan Anwar dari penjara.
 
Beliau pada masa sama didakwa turut mengancam untuk membakar papan iklan itu sekiranya PBT dan kerajaan negeri tidak menurunkan papan iklan terbabit.
 
Protes itu diadakan berhadapan Restoran Rasyid Jalan Memanda 1, Taman Ahmad Razali, Ampang, berhampiran pusat beli-belah Ampang Point.
 
 

Tiada ulasan: