Selasa, 15 Mac 2016

PM perlu minta tambahan kuota jemaah haji

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berunding dengan Kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan kuota haji sehingga 50,000 setahun.

Menurut Rafizi dalam sidang media pada hari ini, penambahan kuota itu boleh memendekkan tempoh menunggu giliran jemaah haji negara ini

"Kuota rasmi jemaah haji bagi Malaysia adalah 30, 000 jemaah setahun. Malah sejak beberapa tahun lalu, kuota rasmi jemaah haji negara ini adalah sekitar 22,000 orang setahun sahaja.

"Memandangkan beliau (Najib) sangat rapat dengan Kerajaan Saudi, mungkin keluarga DiRaja Saudi boleh memberikan pertambahan kuota haji bagi rakyat negara ini," katanya menerusi sidang media di lobi Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.

Menurut Rafizi lagi, sehingga Februari tahun ini, Tabung Haji sudah merekodkan sebanyak 2.023 juta pemegang akaun.

Dengan angka itu, jelas Rafizi, secara purata, seorang bakal jemaah haji perlu menunggu antara 40 hingga 70 tahun untuk menunaikan haji.

"Tempoh masa yang lama ini adalah disebabkan kerajaan gagal mendapatkan kuota tambahan daripada Kerajaan Saudi," katanya lagi.


Tiada ulasan: