Selasa, 22 Mac 2016

PKR buat laporan polis terhadap IGP kerana salah guna kuasa

Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PKR akan membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, selepas mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menurunkan papan iklan #BebasAnwar dibeberapa kawasan Selangor. 
 
Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin berkata pihaknya akan turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap Khalid kerana menyalahgunakan kuasa.
 
"Saya dan rakan rakan akan buat laporan polis terhadap IGP (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan juga akan buat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkenaan salahguna kuasa oleh IGP, kerana tiada kuasa (campuri) PBT. 
 
"Kami (PKR) akan memberi arahan kepada ahli Majlis PBT untuk membuat laporan polis dan kita juga akan buat laporan polis tentang papan iklan berkaitan kerajaan (yang didakwa menipu rakyat) nak tengok samada IGP akan turunkan kerana menipu rakyat maka lebih teruk dari bebas (Datuk Seri) Anwar Ibrahim," katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi hari ini.
 
Semalam, pihak polis didakwa menurunkan tiga papan iklan #BebasAnwar disekitar Ampang tanpa izin daripada PBT negeri Selangor.
 
Dalam pada itu, Zuraidah berkata lokasi papan tanda itu adalah kepunyaan kerajaan negeri dan pihak polis tiada kuasa untuk menurunkan papan tanda berkenaan.
 
"Dua kawasan yang diletakkan papan iklan bebas Anwar adalah kepunyai MBI (Menteri Besar Incorporated) jadi atas dasar itu maka tidak perlu ada campur tangan daripada pihak mana-mana untuk kita (kerajaan negeri) nak iklankan di papan tanda itu.
 
Sabtu lalu, Khalid meminta PBT di Selangor supaya menurunkan papan iklan #BebasAnwar di negeri itu yang didakwa memaparkan unsur-unsur hasutan kepada umum.
 
Perkara itu dinyatakan beliau menerusi akaun Twitternya di mana polis sedang mengesan papan tanda itu yang didapati mempunyai unsur hasutan dan mengelirukan rakyat.
 
Sebelum ini, Presiden Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Malaysia Datuk Jamal Md Yunus berhasrat untuk membakar papan tanda 'Bebas Anwar' di Sabak Bernam yang didakwa beliau tidak mempercayai sistem kehakiman negara.
 
Untuk rekod, terdapat lebih 20 papan iklan itu dipamerkan di beberapa kawasan di Selangor termasuk di Subang dan Rawang.
 
 

Tiada ulasan: