Sabtu, 5 Mac 2016

Perpaduan Umno masih utuh, kata Ahmad Zahid

SINAR HARIAN


Perpaduan Umno masih utuh, kata Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (dua kanan) pada perjumpaan khas bersama UMNO Sabah, di Kota Kinabalu, Sabtu. Hadir sama Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil (kanan) dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tiga kiri). - Foto Bernama


KOTA KINABALU - Perpaduan dalam kalangan ahli Umno masih kukuh walaupun ada usaha beberapa bekas pemimpin parti itu bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan pucuk pimpinan parti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata anggota parti terus utuh mendukung kepimpinan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun wujud 'deklarasi rakyat' yang dibuat bekas pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan pemimpin daripada pembangkang semalam.

"Umno dan BN menolak persekongkolan itu. Tidak terjangkau di benak fikiran rakyat tentang tindakan yang sebegitu keras diambil oleh tokoh-tokoh berkenaan terutamanya yang berstatus negarawan yang cuba mempengaruhi rakyat untuk menukar barisan kepimpinan negara yang telah dipilih secara sah melalui pilihan raya.

"Ia (deklarasi rakyat) adalah satu tindakan yang tidak masuk akal dan tidak berpaksikan kepada kebenaran," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan khas bersama barisan kepimpinan Umno Sabah di Bangunan Umno Sabah di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Deklarasi Rakyat satu cabaran politik dalam PRU]

Beliau berkata tindakan mahu menggulingkan kerajaan menerusi sistem di luar perundangan seperti yang berlaku pada deklarasi rakyat adalah lebih kepada kehendak sekumpulan pihak tertentu yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam parti serta pernah mengetuai parti komponan BN. 

"Tindakan itu jelas mempunyai agenda tersendiri yang tidak sulit untuk rakyat tafsirkan," tegas Ahmad Zahid.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru agar semua ahli Umno dan parti komponan BN tetap bersatu dalam memperkukuhkan ikatan.

"Dalam keadaan inilah, kita di peringkat pusat dan negeri khususnya di bahagian akar umbi perlu berazam untuk memperkukuhkan dan memperkasakan perpaduan dalam kalangan anggota parti," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Umno Sabah berkata Umno Sabah akan terus menyokong pucuk pimpinan parti.

"Kita terus menyokong dan akan menentukan Umno Sabah terus kuat serta kukuh untuk menghadapi apa juga cabaran yang datang dan yang penting bagi Umno Sabah adalah terus kuatkan jentera untuk menghadapi apa juga keadaan," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: