Rabu, 23 Mac 2016

Perlu ada pertemuan dengan ketua bahagian komponen BN

SINAR HARIAN


Annuar Musa
Annuar Musa
 
 
KUALA LUMPUR - MIC hari ini berharap barisan pimpinan tertinggi BN dapat mengadakan siri pertemuan dengan ketua bahagian daripada parti komponen bagi mengukuhkan jentera parti menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, MIC mengemukakan cadangan itu berdasarkan keperluan untuk mempertingkatkan lagi kerjasama di kalangan parti komponen di peringkat bahagian.

"Kita perlu lebih kuat menghadapi pilihan raya akan datang dan semangat BN itu perlu berlaku secara jelas, tidak hanya di peringkat Majlis Tertinggi namun ia perlu turut berlaku di semua peringkat termasuk di peringkat bahagian," katanya dalam sidang media selepas perjumpaan muhibah bersama ketua-ketua penerangan MIC di Wisma MIC hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, Datuk V.S Mogan; Setiausaha Agung MIC, A. Sakthivel dan Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy.

Annuar berkata, perjumpaan hari ini bertujuan mendapatkan maklum balas, pandangan dan idea daripada jentera komponen BN.

"Banyak perkara susulan yang kita perlu lakukan dan kita perlu perbanyakkan pertemuan seperti ini dalam mendapatkan kerjasama dan mengukuhkan hubungan sebagai satu pasukan yang baik dalam parti komponen BN," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: